suria

Yuna anggap lagu AI tiada jiwa, tak mampu ganti sentuhan manusia

Yuna tidak menggalakkan pengunaan AI dalam penghasilan sebuah karya.

KETIKA era teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin menguasai dunia seni, penyanyi Yuna tetap mempercayai sentuhan manusia masih diperlukan dalam penghasilan sesebuah karya yang baik. 

Yuna atau Yunalis Mat Zara'ai, 40, berkata teknologi AI mungkin mampu membantu mempercepatkan proses kreatif, namun ia tidak seharusnya mengambil alih jiwa dan emosi yang lahir secara semula jadi daripada pengalaman manusia.

“Saya sememangnya tidak menggalakkan orang bergantung kepada AI untuk menghasilkan karya. Bagi saya, AI sepatutnya digunakan sebagai alat untuk membantu memperbaiki karya yang kita hasilkan.

Yuna menerima peredaran teknologi tetapi tidak menyokong pengunaan AI.

Yuna menerima peredaran teknologi tetapi tidak menyokong pengunaan AI.

“AI bukan untuk mengambil alih sepenuhnya proses kreatif itu. Saya kurang bersetuju kalau seseorang itu menggunakan suara AI sepenuhnya dan terus jadikannya sebuah lagu.

“Sedangkan kita sudah ada ramai artis berbakat, penulis lagu dan pengkarya yang mencari rezeki melalui bidang ini. Itu adalah ‘bread and butter’ mereka,” katanya kepada mStar. 

Dalam pada itu, penyanyi lagu Terukir Di Bintang ini berpendapat nilai kemanusiaan dalam muzik tidak boleh diganti walau secanggih mana teknologi berkembang.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Malaysia pertama raih 1 bilion strim Spotify, Yuna tak pernah letak sasaran angka

ARTIKEL BERKAITAN: Yuna gembira ‘Crush’ terus jadi pilihan peminat di platform penstriman, luah hasrat bekerjasama dengan Noh Salleh

“Bagi saya, sentuhan manusia itu sangat penting. Nilai kemanusiaan dalam sesebuah lagu juga sangat penting. Sebab itu kami cuba mengelakkan penggunaan AI dalam karya kami.

“Mungkin pandangan artis lain berbeza dan saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka. Kalau AI digunakan sekadar untuk mencetuskan idea awal atau sebagai permulaan dalam proses berkarya, saya masih boleh terima. 

“Tetapi kalau keseluruhan struktur lagu itu dihasilkan AI, bagi saya ia agak berbeza. Namun, pada masa sama saya sedar kita memang tidak boleh melawan perkembangan teknologi ini," ujarnya. 

Saya sememangnya tidak menggalakkan orang bergantung kepada AI untuk menghasilkan karya.

YUNA

PENYANYI

Berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan komposer dan pemuzik di Amerika Syarikat, Yuna berkata dia sendiri pernah menyaksikan bagaimana teknologi AI digunakan dalam proses penciptaan lagu di studio rakaman.

Baginya, teknologi AI banyak digunakan untuk tujuan eksperimen dan pencarian idea baharu, namun kebanyakan pengkarya masih meletakkan kreativiti manusia sebagai elemen utama dalam penghasilan sesebuah lagu.

Yuna percaya penghasilan lagu AI tidak dapat menyentuh emosi manusia.

Yuna percaya penghasilan lagu AI tidak dapat menyentuh emosi manusia.

“Saya pernah berada di studio bersama beberapa penerbit di AS ketika AI baru mula berkembang. Waktu itu kami, sebagai penulis lagu, cuba bereksperimen dengan memasukkan arahan untuk hasilkan lagu.

“Bila AI hasilkan lagu itu, saya rasa bahasanya seperi terlalu ‘terdesak’ untuk menghasilkan sebuah lagu. Ia tidak sama seperti proses manusia berkarya, apabila kita berhenti sekejap, fikir semula, tukar perkataan, ubah melodi dan mencari rasa yang paling tepat.

“Bagi saya, AI tidak mempunyai sentuhan manusia itu. Sedangkan sentuhan manusia lahir daripada pengalaman hidup dan anugerah Tuhan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain