suria

Rody Kristal balas kenyataan Lan Solo, tiada masalah berkawan tapi bukan bekerjasama

Rody tidak mahu berkerjasama dengan Lan.

GITARIS utama Kristal iaitu Rody tampil membalas kenyataan yang dikeluarkan Lan Solo susulan dakwaan memberi layanan dingin selepas penyanyi itu mengajak untuk bekerjasama dalam sebuah konsert.

Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, 40, mengakui dia menerima panggilan telefon daripada Lan Solo untuk berbincang mengenai kerjasama Konsert OG yang bakal berlangsung pada 1 Mei depan.

Rody bagaimanapun memberitahu tidak memahami tujuan konsert berkenaan diadakan memandangkan barisan anggota asal yang ada pada acara itu hanyalah Lan seorang.

Lan dan Rody antara tonggak utama Kristal.

"Memang dia ada hubungi aku, tapi aku tak faham kenapa dia nak buat konsert Kristal OG itu. Apa sebenarnya tujuan dia, sedangkan line-up pun hanya dia seorang saja? Mana perginya Izal dan Ainol? Mereka pun tak join. Jadi, apa yang original di situ?

"Buat konsert sekadar untuk satukan kembali anggota lama, sedangkan dia sendiri sudah keluar dari Kristal dan buat Kristal X," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Menurut Rody, dia tidak kisah sekiranya ingin menjalinkan persahabatan kembali bersama Lan namun tidak untuk melakukan sebarang kerjasama dengannya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya dah rendahkan ego" - Lan Solo akur Rody Kristal beri respons dingin, hasrat jernihkan hubungan tak kesampaian

ARTIKEL BERKAITAN: Kristal rai 25 tahun perjalanan seni di Zepp KL, berjaya kumpul anggota asal

Malah dia meminta agar Lan menghormati dia dan rakan-rakan yang masih memperjuangkan nama Kristal untuk tahap yang lebih baik.

"Aku hormat dia sebagai kawan, tapi untuk bekerjasama, aku rasa dah tak boleh. Kalau setakat berkawan, tiada masalah. Periuk masing-masing, masing-masing jaga.

"Tolong hormat aku, hormat Kristal, dan hormat rakan-rakan aku. Sebab Kristal adalah antara band rock yang masih ada jangan matikan usaha aku untuk teruskan legasi band rock Malaysia ini," ujarnya.

Kristal ini diasaskan oleh ayah aku.

RODY 

GITARIS KRISTAL

Dalam masa sama, Rody juga memberitahu dia merasakan Kristal belum bersedia untuk mengadakan konsert berskala besar seperti yang digembar-gemburkan.

Jelasnya, ketika ini dia sedang merangka hala tuju Kristal agar seiring dengan nama band rock lain yang mendendangkan orang ramai dengan karya sendiri.

"Tapi bagi aku kalau kristal nak buat konsert macam mana pun, masih belum sampai target Kristal nak buat konsert besar sebab Kristal ini hanya berapa album saja yang ada lagu sendiri dan seterusnya banyak buat lagu saduran.

"Jadi pada aku target aku nak jadikan Kristal satu legasi yang besar macam Wings, Search atau band-band besar lagi yang boleh buat konsert atas nama sendiri atau lagu sendiri ciptaan sendiri itu yang sebenarnya aku nak capai," luahnya.

Hubungan Rody (kiri) dan Lan sudah lama renggang.

Pada masa sama, Rody menegaskan kumpulan Kristal yang dikendalikan olehnya ketika ini masih meneruskan legasi asal meskipun berlaku pertukaran anggota termasuk penyanyi.

Katanya lagi, kumpulan tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana ditubuhkan oleh bapanya.

"Kristal yang ada sekarang ini masih Kristal yang sama seperti dulu. Cuma penyanyi kita sudah bertukar kepada Ewal. Aku masih lagi membawa nama Kristal ini sejak aku bermula seorang diri, kemudian jumpa ahli lain, bertukar-tukar anggota, sampai sekarang aku tetap teruskan membawa nama Kristal.

Lan dikatakan sudah keluar dari Kristal.

"Untuk pengetahuan semua, Kristal ini diasaskan oleh ayah aku. Jadi bagi aku, Kristal itu adalah aku, dan aku adalah Kristal," tambahnya.

Sebelum ini, Lan memaklumkan dia sudah merendahkan ego demi menjernihkan hubungan dengan Rody bagi menjayakan konsert Kristal OG bersama.

Bagaimanapun, usaha Lan atau nama sebenarnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 41, itu tidak mendapat maklum balas positif daripada Rody.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain