suria

Ryan Bakery kongsi berita duka, isteri keguguran anak kedua

Ryan (kanan) memaklumkan isterinya keguguran anak kedua.

PERSONALITI media sosial, Ryan Bakery berkongsi khabar duka apabila isterinya, Elyia Ibrahim mengalami keguguran anak kedua pada Ahad lalu.

Ryan atau Ryan Fahmi Bakery, 31, berkata mereka pada awalnya menerima berita gembira mengenai kehamilan Elyia pada pagi Syawal.

Namun, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila isterinya mengalami pendarahan ketika pulang ke kampung halaman di Pahang.

Ryan (kiri) dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

"Isteri saya baru saja mengalami keguguran anak kedua kami. Dapat berita gembira pada pagi Syawal (berita isteri hamil) tetapi bila kami balik kampung di Pahang, isteri tergerak hati ajak buat pemeriksaan di klinik. 

"Sampai saja di klinik isteri saya mengalami pendarahan. Doktor rujuk ke Hospital Temerloh dan  mendapati isteri saya telah keguguran," katanya kepada mStar. 

Ryan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Indigital yang diadakan di LMP Event Hall, Petaling Jaya pada malam Rabu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ryan Bakery berjaya turun 10 kg, jadikan Shaheizy Sam sebagai inspirasi untuk kurus

ARTIKEL BERKAITAN: Ryan Bakery terima tawaran stesen TV, bakal jadi pengarah drama... Tak mahu dikenali hanya di media sosial

Dalam pada itu, Ryan memberitahu kandungan tersebut baru sahaja mencecah usia lebih sebulan dan disahkan positif melalui ujian kit kehamilan selepas Elyia menyedari kitaran haidnya terlewat.

"Kandungan baru sebulan lebih. Bila isteri saya sedar sudah tidak datang bulan, dia buat pemeriksaan melalui ujian kit kehamilan dan positif hamil. 

"Kami seronoklah dapat berita gembira ini tetapi nak buat macam mana tak ada rezeki,"katanya. 

Isteri saya baru saja keguguran anak kedua kami.

RYAN BAKERY

PERSONALITI MEDIA SOSIAL

Dalam masa sama, Ryan mengakui sebagai suami, dia perlu tampil kuat bagi menyokong emosi isterinya yang masih bersedih dengan kehilangan tersebut.

"Sebagai suami mungkin kita tidak rasa apa yang wanita rasa (perasaan keguguran). Saya kena jadi kuat untuk isteri. 

"Kejap-kejap isteri menangis sebak. Dia pula dah beli asid folik, susu untuk ibu hamil. 

Ryan (kiri) dan isteri reda tiada rezeki timang anak kedua.

"Saya kena banyak bagi dia semangat untuk tenangkan diri. Alhamdulillah emosi isteri saya semakin baik," katanya. 

Untuk rekod, Ryan dan Elyia mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022. 

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Ryan Ezra yang kini berusia dua tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain