suria

Syed Saddiq serahkan rancangan perkahwinan kepada Bella Astillah, bakal nikah tahun ini

Syed Saddiq (kiri) mendedahkan mereka bakal bernikah pada tahun ini.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan sepenuhnya perancangan majlis perkahwinan kepada pelakon Bella Astillah demi memastikan hari bahagia mereka berlangsung seperti diimpikan.

Syed Saddiq, 34, berkata dia tidak terlalu memikirkan soal persiapan majlis kerana lebih mengutamakan kehidupan selepas bergelar suami isteri.

Malah, pasangan itu dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini.

“Bab perancangan perkahwinan ini saya serahkan kepada Bella kerana dia lebih mahir. Apa yang menggembirakan dia, saya turuti sahaja.

Syed Saddiq (kanan) melamar Bella di Gunung Kinabalu, Sabah.

Syed Saddiq (kanan) melamar Bella di Gunung Kinabalu, Sabah.

“Proses perkahwinan itu tidak penting kerana kita mahu lihat pengakhirannya (hidup sebagai suami isteri) lebih penting.

“Insya-Allah kami akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menjelaskan setiap hantaran pertunangan yang diberikan kepada Bella mempunyai makna tersendiri.

Menurutnya, fokus utama adalah kepada masa depan termasuk pendidikan anak-anak Bella, selain menyediakan pelaburan jangka panjang menerusi simpanan SSPN  (Skim Simpanan Pendidikan Nasional) dan Tabung Haji.

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq berubah selepas kenal Bella Astillah, mula bercinta tahun lalu

ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah wanita pertama Syed Saddiq ucap ‘I Love You’, angka ‘448257’ jadi tanda tanya

“Saya suka merancang untuk masa depan dan tidak suka membazir, sebab itu kelima-lima hantaran itu ada sebab tersendiri.

“Cincin tunang bukan sekadar adat tetapi sebagai simbol ikatan. Simpanan untuk Ayden dan Ara juga penting kerana pertunangan ini bukan hanya melibatkan Bella, tetapi juga anak-anaknya.

“Saya bukan hanya melamar Bella tetapi sedikit sebanyak turut menerima anak-anaknya. Sebab itu saya tekankan soal pendidikan dengan menyediakan SSPN, manakala ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) dan Tabung Haji adalah pelaburan masa depan untuk kami sekeluarga,” ujarnya.

Syed Saddiq dalam masa sama menzahirkan rasa syukur atas doa orang ramai yang disifatkan memberi kesan besar terhadap perjalanan hubungan mereka.

Insya-Allah kami akan melangsungkan perkahwinan pada tahun ini. 

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

AHLI PARLIMEN MUAR

“Saya rasa doa daripada rakyat Malaysia memainkan peranan besar. Walaupun pada peringkat awal ia tidak dirancang, percaturan Allah itu sangat hebat.

“Bermula daripada kami bekerjasama akhirnya membawa ke sini (pertunangan). Saya sangat bersyukur kerana dalam kesulitan, Allah membalas dengan kebaikan yang jauh lebih besar.

"Bagi saya Bella adalah anugerah paling besar untuk saya," jelasnya. 

Sementara itu, Bella berkongsi detik dia dilamar ketika sama-sama mendaki Gunung Kinabalu pada Januari lalu. 

Bella merupakan ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata.

Bella merupakan ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata.

Kongsinya, anak-anaknya juga menerima berita gembira itu dengan hati terbuka selepas diberitahu oleh Syed Saddiq.

"Perasaan ketika itu bercampur baur sebab tempat itu sangat sejuk dan saya pun dah penat. Bila kena lamar itu macam-macam dalam kepala. 

"Alhamdulillah saya cakap 'yes' dalam masa beberapa saat saja. 

"Respons anak-anak sangat positif. Bukan saya yang kongsikan berita lamaran ini kepada mereka tetapi Syed Saddiq sendiri beritahu Ayden dan Ara," katanya. 

Pada 28 Mac lalu, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, selamat bergelar tunangan kepada Syed Saddiq dalam sebuah majlis yang berlangsung di ibu negara. 

Bella (kanan) dan Syed Saddiq bertunang pada 28 Mac lalu.

Bella (kanan) dan Syed Saddiq bertunang pada 28 Mac lalu.

Pada majlis tersebut, bakal pengantin bertukar hantaran iaitu lima dulang berbalas tujuh daripada Bella yang juga berkonsepkan Gunung Kinabalu simbolik tempat Syed Saddiq melamarnya pada Januari lalu.

Lebih mencuri perhatian pada majlis tersebut Syed Saddiq menyerahkan Sijil SSPN untuk anak Bella, Ayden dan Ara.

Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Aliff Aziz pada 2016 dan bercerai pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahiwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain