suria

Alyssa Dezek raih 9A dalam SPM, bukti kerjaya seni bukan halangan

Alyssa (tengah) bersama ibu dan bapanya ketika mengambil keputusan SPM di sekolah.

PENYANYI Alyssa Dezek membuktikan kejayaan dalam bidang akademik dan seni boleh digalas seiring apabila berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan pada Selasa.

Pencapaian itu sekali gus membanggakan keluarga serta peminat, selain menjadi inspirasi kepada golongan remaja agar terus mengutamakan pendidikan walaupun aktif dalam dunia hiburan.

Alyssa, 18, berkata kejayaan tersebut bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya seni dan pelajaran.

Alyssa dua dari kiri bersama Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman (kiri), ibu dan Sir Race.

“Saya sangat bersyukur dengan keputusan ini. Sejujurnya, perjalanan ini bukan mudah kerana saya perlu membahagikan masa antara kerjaya dan pelajaran.

“Tapi saya percaya, kalau kita ada disiplin dan sistem pembelajaran yang betul, Insya-Allah kita boleh capai apa yang kita impikan,” katanya.

Dalam pada itu, Alyssa turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa serta guru yang sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh pembelajarannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah ada Vellfire tapi besar sangat, bapa hadiahkan Alyssa Dezek kereta Proton sempena hari jadi ke-17

ARTIKEL BERKAITAN: Beli Vellfire pada usia 12 tahun, ibu Alyssa Dezek dituduh tak pandai urus duit anak - “Mungkin mereka tak tahu siapa ayah dia”

Kejayaan diraih penyanyi ini juga membuktikan komitmen dan disiplin tinggi menjadi kunci utama dalam mencapai kecemerlangan, sekali gus menepis tanggapan bahawa kerjaya seni boleh menjejaskan prestasi akademik.

Sementara itu, Alyssa yang juga Ikon PTTI berkata platform pembelajaran digital berkenaan banyak membantunya sepanjang persediaan menghadapi SPM.

“PTTI banyak membantu saya kekal fokus, terutamanya dengan kelas yang fleksibel dan teknik pembelajaran yang mudah faham.

“Saya memang ikut semua kelas untuk sembilan subjek, dan itu antara kunci utama saya dapat ‘straight’ A,” ujarnya

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain