suria

Umur baru 13 tahun, Thalita sudah siapkan duit raya buat keluarga... Shuib puji didikan isteri

Thalita sediakan duit raya buat keluarga.

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi lebih bermakna buat penyanyi muda, Thalita apabila mula berkongsi rezeki kepada keluarga selepas bergelar anak seni.

Bapanya iaitu pelawak Shuib, dalam satu hantaran di Instagram meluahkan rasa terharu apabila Thalita atau Dzahira Talita Zahra, 13, sudah menyiapkan duit raya untuk ahli keluarga yang lain.

Lebih menyentuh hati, Shuib seolah-olah menyampaikan ucapan tersebut kepada isterinya, Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia pada Ogos 2021.

Shuib terharu anaknya sudah mampu berkongsi rezeki. 

"Ibu (panggilan untuk Sarah), anak perempuan awak bagi saya duit raya untuk pertama kalinya.

"Umur dia baru 13 tahun tetapi dah boleh bagi duit raya kepada satu keluarga. Hatinya sangat baik macam awak," luahnya.

Dalam gambar yang dimuat naik, Shuib turut menunjukkan wang kertas berjumlah RM250 dipercayai pemberian Thalita kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Doakan saya berpakaian lebih sopan” - Thalita ambil iktibar isu gaun seksi 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau kecaman buat dia jadi lebih baik, salah ke?” – Watie pertahankan pemakaian Thalita

Dalam masa sama, dia turut memuji isterinya, Watie Hanifiah kerana memberi didikan terbaik kepada anak-anak tentang rezeki.

"Ini semua hasil didikan Mummy Watie juga. Pandai didik anak-anak tentang rezeki. Alhamdulillah, syukur," ucapnya.

Shuib puji Watie dalam mendidik anak-anak. 

Untuk rekod, Thalita merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup Shuib bersama Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.

Shuib kemudian kembali mendirikan rumah tangga dengan Watie pada 23 Jun 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain