suria

Sambutan Aidilfitri Muaz Zabir dah tak sama selepas kehilangan ayah... “Setahun saya tak lalu tempat kemalangan”

Muaz rindu kemeriahan beraya bersama arwah bapa.

KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri bagi pelakon Muaz Zabir tidak lagi sama sejak pemergian bapanya akibat kemalangan pada tahun 2019.

Menurut Muaz, 28, walaupun sudah tujuh tahun berlalu, suasana hari raya tetap terasa kosong tanpa kehadiran arwah yang sebelum ini menjadi individu penting dalam keluarga.

“Tahun ini tahun ketujuh saya beraya tanpa ayah. Tetap rasa kosong walaupun dah lama sebab dia penting dalam keluarga. Setiap kali raya orang memang nak jumpa dia.

Muaz setiap tahun akan beraya bersama ibu di kampung.

“Sejak pemergiannya pada 2019, sambutan raya kami rasa kosong. Dulu rumah arwah abah jadi tempat orang singgah tapi sekarang sudah kurang. Memang terasa kelainannya,” katanya kepada mStar.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku, Muaz berkata dia sekeluarga menerima khabar duka itu secara mengejut apabila bapanya terlibat kemalangan seminggu sebelum Ramadan.

Kata Muaz, kehilangan secara tiba-tiba itu memberi kesan mendalam sehingga Ramadan dan Aidilfitri pada tahun tersebut menjadi detik paling sukar buat dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama makin naik, Muaz Zabir akui wujud ‘politik’ dalam industri seni

ARTIKEL BERKAITAN: Muaz Zabir tak setuju lelaki baik sudah pupus, anggap wanita suka buat perbandingan

“Ayah pergi dalam keadaan mengikut akibat kemalangan. Kalau sakit mungkin kita sudah bersedia daripada segi mental.

“Tapi dia pergi seminggu sebelum Ramadan. Tahun itu merupakan Ramadan dan Aidilfitri paling teruk pernah saya rasa," katanya. 

Pemergian ayah buat hari raya Muaz terasa kurang meriah.

Meskipun sudah lama berlalu, namun Muaz masih terbayang-bayang lokasi kemalangan yang meragut nyawa bapanya.

“Setiap kali lalu tempat itu saya akan teringat sebab dekat dengan rumah. Memang beri kesan mendalam. 

“Sejak kemalangan itu hampir setahun juga saya tak lalu jalan tersebut. Saya akan pusing jauh sikit. Rasa macam tak boleh lalu, kalau lalu mesti rasa sayu,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain