suria

Nubhan ikut cita rasa anak, tak kisah belanja besar buat persiapan raya

Nubhan lakukan persiapan awal untuk anak-anak.

SERONOK melakukan persiapan menyambut Aidilfitri, penyanyi Nubhan  mengakui keutamaannya setiap tahun adalah memastikan anak-anak gembira menyambut 1 Syawal.

Menurut Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 40, segala kelengkapan termasuk pakaian baharu dibuat mengikut pilihan tiga cahaya matanya yang masing-masing mempunyai cita rasa tersendiri.

“Persiapan untuk anak-anak memang saya buat awal. Bagi saya, apa sahaja yang boleh buat mereka gembira, saya akan cuba tunaikan.

“Baju baharu semua mereka pilih sendiri sebab masing-masing ada cita rasa berbeza. Kami masuk sahaja mana-mana kedai untuk mereka pilih dan saya akan usahakan sampai dapat apa yang mereka mahukan.

Kelengkapan anak menjadi keutamaan Nubhan. 

"Cuma baju untuk dipakai pada 1 Syawal saya sudah tempah mengikut warna sedondon. Itupun atas persetujuan anak-anak. Saya tunjukkan warna-warna yang menarik untuk mereka pilih sehingga semua mencapai kata sepakat.

"Dua orang anak saya sudah besar, jadi mereka tahu apa yang dimahukan. Saya ikutkan sahaja, tidak kisahlah berhabis sekali pun," ujarnya.

Bagi penyanyi ini, kegembiraan anak-anak adalah satu nikmat yang cukup bermakna buat dirinya sebagai bapa.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Nubhan enggan terlalu fikir soal jodoh, mahu fokus masa depan anak-anak 

ARTIKEL BERKAITAN: Hadiahkan ‘katil hospital’ buat Mak Jenny, netizen tersentuh lihat layanan Nubhan terhadap ibu

Meskipun bergelar duda tahun ini, namun tidak banyak perbezaan yang dirasakan oleh Nubhan kerana sudah terbiasa melakukan persiapan buat anak-anak.

"Persiapan dan sambutan raya rasanya sama sahaja. Tidak banyak yang berubah. Bukanlah sesuatu yang janggal buat saya membeli kelengkapan buat anak-anak.

"Tahun ini, raya pertama dan kedua anak-anak akan beraya bersama saya di kampung," ujarnya yang akan menyambut 1 Syawal di Juaseh, Negeri Sembilan.

Saya ikutkan sahaja, tidak kisahlah berhabis sekali pun

NUBHAN 

PENYANYI 

Bercakap lanjut, Nubhan juga merancang untuk mengambil cuti panjang dan bercuti ke luar negara.

"Raya ketiga saya akan pergi bercuti. Tak pergi jauh pun, negara jiran sahaja.

"Perniagaan saya akan mula beroperasi selepas cuti umum hari raya. Cuma saya ambil tempoh cuti panjang sedikit," kongsinya.

Nubhan ambil peluang bercuti ke luar negara. 

Untuk rekod, Nubhan memiliki tiga orang cahaya mata hasil perkahwinan bersama bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 namun sah bercerai pada 2 Disember tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain