suria

Rita Rudaini turun padang sokong program CSR sekolah anak

Rita (dua dari kanan) menyertai program CSR anjuran MRSM Sungai Besar.

PELAKON Rita Rudaini sanggup turun padang bagi memberi sokongan kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjurkan oleh pelajar Maktab Rendah Sains MARA Sungai Besar (MRSM Sungai Besar) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Ahad. 

Rita atau Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 50, berkata walaupun terpaksa meredah hujan ketika program berlangsung, dia tetap bersemangat untuk bersama para pelajar yang terlibat dalam aktiviti kebajikan itu.

"Walaupun terpaksa meredah hujan rahmat, saya tetap bersama anak-anak Ulul Albab ini mengagihkan makanan untuk berbuka dan bersahur di sekitar Dataran Merdeka dan Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman) .

Rita (kiri) turun padang untuk menyertai program CSR di Dataran Merdeka.

"Kebetulan saya mempunyai masa terluang, jadi saya turun padang membantu setakat mana yang mampu bersama guru dan anak-anak yang kini berada di tahun akhir pengajian. 

"Semoga ia menjadi kenangan indah buat saya kerana masa seakan-akan mencemburui kami apabila terasa begitu cepat berlalu ketika melakukan aktiviti ini bersama mereka," katanya. 

Dalam pada itu, Rita turut merakamkan penghargaan kepada guru yang menjadi pencetus kepada penganjuran program CSR tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Rita Rudaini kekal cemerlang dalam akademik, dapat Anugerah Pengetua MRSM Sungai Besar

ARTIKEL BERKAITAN: Rita Rudaini tak pandai hipokrit, tiada agenda tersembunyi... “Hanya kebajikan anak-anak yang saya perjuangkan sejak awal”

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Dzul yang menganjurkan program CSR ini untuk mendidik anak-anak supaya lebih empati, berani, yakin diri serta mempunyai sifat berkongsi rezeki dengan masyarakat. 

"Melalui program CSR, anak-anak belajar nilai empati, menghargai kehidupan dan memahami bahawa setiap kebaikan kecil mampu memberi makna besar kepada orang lain," ujarnya. 

Pelakon filem Mami Jarum itu bagaimanapun berharap pengalaman seperti ini mampu membentuk generasi muda yang berilmu, berakhlak serta berjiwa besar dalam menyumbang kepada negara.

"Saya doakan semoga anak-anak ini membesar menjadi generasi yang berilmu, berakhlak dan menjadi pelapis negara suatu hari nanti. Hari ini mereka belajar, esok mereka memimpin. 

Pelajar-pelajar MRSM Sungai Besar mengagihkan makan untuk berbuka puasa.

"Tugas saya sebagai seorang wanita untuk negara adalah mendidik, membina dan membesarkan generasi yang lebih baik daripada kita. Mungkin tugas ini kecil di mata manusia, tetapi besar untuk masa depan negara. 

"Wanita yang membina anak-anak dengan nilai dan ilmu sebenarnya sedang membina masa depan sebuah negara," katanya. 

Untuk info, program CSR ini membabitkan pelajar Tingkatan 5 yang turut membabitkan anak sulung Rita iaitu Airit Rayyan Rizqin yang juga merupakan pelajar dari Maktab Rendah Sains MARA Sungai Besar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain