suria

Mengejar Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir, ini senarai program menarik wajib tonton

Pelbagai program khas disusun bagi membantu umat Islam menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan.

KURANG dua minggu sebelum Aidilfitri, suasana perayaan semakin terasa dengan alunan lagu raya, rumah dihias meriah serta kesibukan membuat persiapan Syawal.

Namun di sebalik kemeriahan itu, Ramadan masih menyimpan detik paling berharga khususnya pada sepuluh malam terakhir yang menjanjikan ganjaran besar kepada umat Islam melalui malam Lailatul Qadar.

Menyedari penghujung Ramadan sering berlalu dalam kesibukan membuat persiapan raya, TV AlHijrah tampil dengan rangkaian program khas bagi mengingatkan masyarakat supaya tidak terlepas peluang menghidupkan malam-malam terakhir bulan mulia ini.

Sebagai stesen penyiaran Islam negara, TV AlHijrah komited menyediakan pengisian rohani yang memberi manfaat dan membantu umat Islam memperbanyakkan ibadah, tadabbur al-Quran serta menambah ilmu walau di mana mereka berada.

Rangkaian program khas disediakan bagi menggalakkan umat Islam mengejar keberkatan malam Lailatul Qadar.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, sepuluh malam terakhir Ramadan adalah kemuncak perjalanan ibadah yang tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja.

Menurutnya, dalam suasana masyarakat semakin sibuk membuat persiapan Aidilfitri, peringatan mengenai kelebihan malam-malam terakhir Ramadan menjadi semakin penting agar umat Islam tidak terleka.

“Fenomena yang kita lihat setiap tahun amat jelas. Masyarakat mula terpesona dengan persiapan Aidilfitri, lagu raya berkumandang lebih awal, dan fokus mereka beralih kepada pulang ke kampung atau bazar Ramadan. 

"Dalam suasana ini, ramai mudah terlupa tentang detik paling berharga Ramadan iaitu sepuluh malam terakhirnya, di mana tersembunyi Lailatul Qadar. 

“Lailatul Qadar bukan sekadar malam yang istimewa, tetapi malam yang ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengisian jiwa sepanjang Ramadan, TV AlHijrah susun kandungan sesuai keperluan semasa 

ARTIKEL BERKAITAN: TV AlHijrah tak pilih bulu, sesiapa pun layak jadi tetamu macam Kak Long 7E… Cumanya kisah sebelum ini tak viral!

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengingatkan masyarakat agar tidak terlepas peluang yang sangat besar ini. TV AlHijrah berusaha memainkan peranan sebagai medium yang memberi bimbingan, menyuntik kesedaran, dan menyediakan pengisian rohani yang bermakna sepanjang tempoh ini,"katanya. 

Antara pengisian utama yang disediakan termasuk program sempena Nuzul al-Quran yang mengimbau peristiwa turunnya al-Quran sebagai petunjuk hidup serta menampilkan perbincangan ilmiah mengenai peranan kitab suci itu dalam kehidupan umat Islam.

Bermula 10 Mac lalu, program Malam Seribu Bulan disiarkan setiap malam dengan menampilkan bacaan al-Quran oleh qari terkenal serta perkongsian ilmuwan mengenai kelebihan memperbanyakkan ibadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

Program khas sempena sepuluh malam terakhir Ramadan dianjurkan bagi mengingatkan masyarakat agar tidak terleka dengan persiapan Aidilfitri.

Selain itu, program Ramadan Quran Hour bermula hari ini memberi ruang kepada masyarakat mendekati al-Quran melalui bacaan, tadabbur dan penghayatan ayat-ayat suci sebagai persediaan rohani menjelang penghujung Ramadan.

Program Khatam Ramadan Mualaf pada Jumaat ini pula mengetengahkan perjalanan rohani saudara baharu dalam mendekati al-Quran serta pengalaman mereka menghayati Ramadan dengan penuh kesyukuran.

TV AlHijrah turut memperluas penyampaian dakwah melalui platform digital seperti Langit Dakwah dan siaran langsung Solat Tarawih dari masjid ke masjid menerusi TikTok Berita AlHijrah bagi memberi peluang masyarakat terus menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan walaupun berada di luar rumah.

Artikel Lain