suria

Sebulan Mak Jah berpuasa di sekolah pondok, rutin wajib sejak 1999… “Lepas solat sunat Aidilfitri barulah saya pulang”

Mak Jah tinggal di sekolah pondok sepanjang bulan Ramadan.

PELAKON veteran Maimunah Ahmad memberitahu dia kembali menjalani ibadah puasa di sekolah pondok tahun ini selepas kali terakhir melakukannya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Maimunah atau mesra disapa Mak Jah, 78, berkata dia sudah menjadikan amalan menetap di sekolah pondok setiap kali Ramadan sebagai rutin tahunan sejak lebih dua dekad lalu bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT selain menuntut ilmu agama.

“Saya memang duduk di sekolah pondok sejak 1999. Di sana saya akan berpuasa dan menunaikan solat berjemaah bersama para pelajar lain.

Mak Jah mempunyai rutin tinggal di sekolah pondok sepanjang bulan Ramadan.

“Sejak dahulu lagi saya memang rajin masuk pondok. Ketika masih aktif menjalani penggambaran, saya sentiasa fikir tentang mencari rezeki kerana setahun ada 12 bulan.

“Jadi daripada 12 bulan itu, satu bulan saya akan luangkan masa untuk berpuasa dan menuntut ilmu di sekolah pondok. Satu bulan lagi saya luangkan masa dengan keluarga dan baki 10 bulan saya akan bekerja mencari rezeki,” katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut, Mak Jah berkata walaupun berdepan sedikit masalah kesihatan terutama pada bahagian kaki, ia tidak menghalangnya untuk meneruskan rutin tersebut kerana mendapat bantuan daripada anak bongsunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Digantung tak bertali hampir 15 tahun, Mak Jah dedah kena kahwin paksa oleh keluarga… “Suami saya pukul sampai pengsan”

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah derita kanser rahim, Mak Jah bersyukur tidak minta bantuan orang... Pesan rakan artis bijak urus kewangan

Menurutnya, anak bongsunya turut tinggal bersama di sekolah pondok yang terletak di Kuala Selangor dan banyak membantu menguruskan keperluan harian sepanjang berada di sana.

“Walaupun saya mempunyai sedikit masalah pada kaki, anak bongsu banyak membantu menjaga saya. Dia juga belajar dan tinggal sekali bersama saya.

“Biasanya jika berada di pondok ketika Aidilfitri, saya akan menyambutnya di sini terlebih dahulu. Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, barulah saya pulang,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain