suria
mStar - Urban.Versatil

Ernie dan Syamel bawa anak buat MV raya sampai ke Hong Kong, syukur Nur Khawla tak buat hal

Ernie dan Syamel berkampun empat hari di Hong Kong demi rakam lagu Suasana Raya.

PENYANYI Ernie Zakri mengakui gementar apabila buat kali pertama membawa anaknya iaitu Nur Khawla Soleha mengikuti penggambaran video muzik (MV) lagu raya di Hong Kong.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, berkata bukan mudah menguruskan anak yang masih kecil untuk terlibat sama dalam produksi yang menuntut komitmen tinggi.

“Ini kali pertama kami bawa Lala (panggilan Khawla) sekali untuk shooting, memang rasa nervous sebab kita tak tahu mood budak-budak macam mana.

Ernie dan Syamel kongsi perasaan teruja kali pertama rakam lagu raya di Hong Kong bersama anak mereka.

“Kadang-kadang okey, kadang-kadang boleh jadi cranky. Jadi sebelum datang memang kami dah bersedia dengan macam-macam kemungkinan,” katanya.

Ernie berkongsi perkara itu ketika ditemui mStar semasa penggambaran MV lagu terbaharu berjudul Suasana Raya.

Menyedari anak berusia empat tahun mempunyai ragam yang tidak menentu, Syamel pula menetapkan beberapa syarat bagi memastikan Khawla tidak tertekan sepanjang berada di lokasi penggambaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tak perlu risau melancong ke Hong Kong, ini 6 kedai makanan patut anda terjah

ARTIKEL BERKAITAN:  Ernie Zakri Bintang Paling Popular ABPBH 37 dengan 124 juta undian, bawa pulang RM30,000… “Saya dah balik dulu tadi”

“Kami cakap dengan dia, kalau penat beritahu, kalau tak nak terus cakap. Kami tak nak dia rasa macam tengah bekerja sebab dia masih kecil.

“Alhamdulillah dia faham dan beri kerjasama sangat baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ernie dan Syamel meluahkan rasa syukur kerana proses penggambaran yang berlangsung selama empat hari berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Selain rakam muzik video, Ernie dan suaminya bersama krew produksi sempat menikmati juadah istimewa yang halal di Hong Kong di Islamic Canteen.

“Bila nampak dia mula penat atau cranky sikit pun kita dah risau. Tapi syukur pihak produksi dan klien sangat memahami.

“Kalau Lala belum bersedia, mereka tak paksa. Itu yang buat saya rasa lega,” jelasnya.

Bercakap mengenai MV lagu berkenaan, Syamel memberitahu pemilihan lokasi berkenaan dibuat atas persetujuan bersama isteri bagi mempromosikan Hong Kong sebagai destinasi mesra Muslim.

Suasana sejuk di Hong Kong tidak membuatkan Ernie dan Syamel teruja rakam momen dalam MV Suasana Raya.

Antara babak yang menjadi lokasi penggambaran ialah di Ocean Park, Kowloon Mosque and Islamic Centre, Ngong Ping 360, Hong Kong Tramways dan Victoria Harbour.

“Kami nak beritahu rakyat Malaysia bahawa Hong Kong sekarang Muslim friendly... banyak kemudahan untuk orang Islam, daripada segi makanan dan tempat ibadah.

“Tak ada masalah untuk bercuti di sini,” katanya.

Suasana Raya dicipta oleh komposer Adam Armin dan Yusuff Khan. MV lagu berkenaan boleh ditonton di YouTube sejak Sabtu lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain