suria
mStar - Urban.Versatil

McDonald’s Malaysia lancar Program Santun Pelajar, sasar 1 juta hidangan Nasi Mekdi diagihkan untuk 2026, bermula bulan Ramadan

20 institusi pengajian tinggi tempatan menjadi antara yang terawal menerima baucar hidangan Nasi Mekdi. -Foto LOW BOON TAT

MCDONALD'S Malaysia melancarkan Program Santun Pelajar sebagai usaha yang menyeluruh bagi membantu mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang berdepan tekanan kos sara hidup, dengan sasaran menyediakan satu juta hidangan Nasi Mekdi menjelang akhir 2026.

Sebagai permulaan, sebanyak 50,000 baucar hidangan Nasi Mekdi akan diagihkan kepada pelajar terpilih di 20 IPT seluruh negara dari 19 Februari hingga 10 Mac ini sempena Ramadan.

Hidangan tersebut lengkap merangkumi nasi, kuah kari kentang, telur, Ayam Tenders McD Pedas serta minuman teh ais lemon.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, inisiatif itu tercetus susulan dapatan pelbagai kajian yang menunjukkan isu keterjaminan makanan dalam kalangan mahasiswa semakin membimbangkan.

“Terdapat kajian menunjukkan kira-kira 60 peratus pelajar IPT berdepan isu keterjaminan makanan. Ini sesuatu yang menyedihkan.

“Kita mungkin tidak dapat membantu semua, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sebahagian pelajar agar tiada yang terpaksa ke kelas dalam keadaan lapar,” katanya pada majlis pelancaran di restoran pandu-lalu McDonald’s Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 13 Februari.

Azmir berharap usaha McDonald’s dapat meringankan beban kewangan pelajar IPT. -Foto LOW BOON TAT

Azmir berharap usaha McDonald’s dapat meringankan beban kewangan pelajar IPT. -Foto LOW BOON TAT

Menurut beliau, setiap pek Nasi Mekdi dianggarkan bernilai sekitar RM5, menjadikan pelaburan keseluruhan bagi satu juta hidangan mencecah kira-kira RM5 juta sepanjang tahun ini.

Bagi fasa Ramadan, setiap cawangan terlibat menyediakan kira-kira 200 baucar sehari dengan tempoh penebusan antara pukul 9 malam hingga 12 tengah malam bagi mengelakkan kesesakan waktu puncak berbuka puasa.

Pemilihan pelajar pula dibuat oleh pihak universiti berdasarkan kuota yang diperuntukkan, melibatkan IPT di sebelas negeri termasuk Kedah, Melaka dan Pahang.

Antara institusi pengajian tinggi yang terlibat ialah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia  (UUM) dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Turut serta ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Kolej Profesional MARA Seri Iskandar (KPM Seri Iskandar) dan Politeknik Ungku Omar (PUO).

Selain itu, Kolej MARA Banting (KMB), Kolej Profesional MARA Beranang (KPM Beranang), Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Universiti Islam Selangor (UIS) serta Kolej Komuniti Hulu Langat (KK Hulu Langat) juga tersenarai.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula melibatkan Universiti Utara Malaysia  Cawangan KL (UUM KL), Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) dan Universiti Kuala Lumpur Business School (UniKL Business School).

IPT lain yang terlibat ialah Politeknik Port Dickson (PPD), Kolej Profesional MARA Bandar Melaka (KPM Bandar Melaka), Kolej Komuniti Kok Lanas (KK Kok Lanas), Politeknik Kota Bharu (PKB), Kolej Profesional MARA Indera Mahkota (KPM Indera Mahkota) serta Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB).

Azmir berkata, program itu bukan sekadar bantuan makanan, sebaliknya sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkasa belia melalui latihan dan peluang pekerjaan.

“Kami mahu memastikan keperluan asas bukan penghalang kepada pelajar untuk berjaya. Selepas ini, program akan diperluaskan merangkumi pendedahan kerjaya, pembangunan kemahiran dan latihan vokasional,” ujarnya.

Eilliyah Fong (kiri) dari UUM mengakui usaha McDonald's secara tidak langsung memberi kesan baik kepada ekonomi mahasiswa. -Foto LOW BOON TAT

Eilliyah Fong (kiri) dari UUM mengakui usaha McDonald's secara tidak langsung memberi kesan baik kepada ekonomi mahasiswa. -Foto LOW BOON TAT

Dengan pengalaman dan rekod kukuh membangunkan laluan kerjaya melalui McDonald’s Vocational Academy, SLDN dan latihan industri, McDonald’s Malaysia memperluaskan sokongan daripada kampus hingga ke alam pekerjaan.

“Pelajar hari ini adalah tenaga kerja dan pemimpin masa depan negara. Tanggungjawab kami ialah memastikan mereka tidak terhalang oleh kekurangan keperluan asas untuk mencapai potensi sebenar,” katanya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pemutusan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Eilliyah Fong Abdullah menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah berimpak tinggi dalam membantu mahasiswa menangani tekanan kos sara hidup.

“Program seperti ini sangat signifikan kerana isu kewangan bukan perkara kecil dan memberi kesan kepada kesihatan mental harian pelajar,” katanya.

Menurutnya, mahasiswa bukan sahaja perlu mengekalkan prestasi akademik dan aktif dalam program universiti, malah perlu mengurus perbelanjaan harian, membina rangkaian sosial dan merancang kerjaya.

McDonald's, Nasi Mekdi, mStarklik26

Artikel Lain