suria

Tegas berpegang pada prinsip, Elly Mazlein tolak tawaran RM500,000… “Mereka tahu saya sudah bertudung”

Elly percaya sentiasa ada rezeki lain buatnya.

PELAKON dan penyanyi Elly Mazlein tegas tidak akan mengorbankan prinsip hidupnya yang kini tampil berhijab walaupun mendapat tawaran kerja dengan bayaran lumayan sehingga RM500,000.

Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata, dia pernah menolak sebuah tawaran yang memerlukannya membuka tudung bagi mempromosikan produk. 

“Saya dapat satu tawaran masa mula-mula berhijab dulu. Memang lumayan, sampai setengah juta ringgit, tetapi syaratnya saya perlu buka tudung.

Elly tak termakan dengan rayuan memintanya buka tudung.

“Bila saya buat keputusan untuk berhijab, walaupun dibayar macam mana sekali pun, saya tetap dengan keputusan saya,” katanya kepada mStar.

Elly berkongsi perkara itu ketika ditemui di Warna Lebaran Ariani Fashion Show 2026 yang berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tambah Elly, pihak berkenaan mengetahui statusnya sebagai wanita bertudung, namun tetap mengemukakan tawaran tersebut.

Dia bagaimanapun menolak peluang tersebut dengan cara berhemah agar tidak menimbulkan salah faham mana-mana pihak. 

ARTIKE:: BERKAITAN: [V] Pujian Asma’ Harun jadi semangat buat Elly Mazlein kekal istiqamah, ramai minta tutorial tudung tutup dada

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini memang syarat saya kepada hijab stylist” - Elly Mazlein selesa bertudung tutup dada

“Mereka tahu saya sudah bertudung, sebab itu mereka letak harga setengah juta. Tapi saya beritahu saya tak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.

“Sekiranya mereka mahu saya jadi duta, prinsip saya tetap akan memakai tudung. Saya percaya akan ada rezeki untuk saya ditempat lain. 

“Walau macam mana pun kita nak tolak tawaran, kita kena jawab dengan baik. Saya beritahu secara berhemah dan Alhamdulillah mereka terima keputusan saya,” jelasnya. 

Elly semakin laris sejak berhijab.

Elly turut berpesan agar mana-mana syarikat atau jenama tidak memandang rendah keupayaan wanita berhijab sebagai duta produk.

“Tak salah kalau pilih duta yang bertudung. Rezeki saya mungkin bukan di situ, tapi Allah gantikan dengan yang lain.

“Yang penting sekarang saya kekal dengan prinsip saya untuk terus berhijab,” luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain