suria

Pujian Asma’ Harun jadi semangat buat Elly Mazlein kekal istiqamah, ramai minta tutorial tudung tutup dada

Elly terharu dengan sokongan ramai selepas berhijab.

PENYANYI dan pengacara, Elly Mazlein, menyifatkan pujian pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun terhadap penampilannya sebagai satu kata semangat untuknya terus istiqamah dalam menggayakan tudung mengikut cara yang betul.

Bagi Elly atau mesra disapa Kak Lina, 45, kata-kata daripada seseorang yang memiliki ilmu agama amat bermakna, selain dianggap sebagai doa agar dia kekal berusaha ke arah kebaikan.

“Apabila menerima pujian daripada seorang agamawan, saya mengakui berasa sangat terharu. Kata-kata pujian dan doa yang diberikan membuatkan saya rasa dihargai.

Elly mahu terus istiqamah.

“Saya benar-benar bersyukur dan mengucapkan terima kasih. Bagi saya, kata-kata itu merupakan satu doa dan saya berazam untuk terus berusaha menjadi insan yang lebih baik,” katanya kepada mStar.

Elly berkongsi perkara itu ketika ditemui di pertunjukan fesyen Raya Jakel 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Khamis.

Tidak hanya itu, Elly berkata dia turut menerima banyak komen daripada peminat yang senang dengan penampilannya yang menutup dada, sehingga ada yang meminta tutorial cara pemakaian tudung.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini memang syarat saya kepada hijab stylist” - Elly Mazlein selesa bertudung tutup dada

ARTIKEL BERKAITAN: Elly Mazlein buat kejutan, tampil bertudung di pentas akhir Kilauan Emas 2025

Bahkan, gaya tersebut kini sudah sinonim dengan dirinya sejak tampil berhijab.

“Ramai peminat menghantar mesej peribadi dan meluahkan rasa terinspirasi dengan pemakaian tudung labuh yang saya gayakan.

“Mereka sudah dapat mengenal pasti bahawa ia adalah gaya khas saya.

Elly selesa dengan imej bertudung labuh.

“Tidak salah memberikan contoh pemakaian yang baik untuk diikuti. Saya menganggap perkara ini sebagai satu tanggungjawab dan bersyukur atas sokongan yang diterima,” ujarnya.

Sebelum ini, dalam satu hantaran di media sosial, Asma' memuji penampilan terbaharu Elly selain mengagumi perubahan figura selebriti terkenal itu.

Dalam hantaran tersebut, Asma' berharap penghijrahan Elly dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk mendekatkan diri kepada agama dan tidak bertangguh dalam melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain