suria

Perbualan dua jam cetus ilham buat Ismail Izzani, berjaya pujuk Suliza Salam rakam lagu baharu… Ajak main pickleball sebelum beri kata setuju

Ismail (kiri) teruja dapat merakamkan lagu bersama ibu.

SETELAH sekian lama tidak aktif membuat persembahan, penyanyi Ismail Izzani akhirnya berjaya memujuk ibunya, Suliza Salam, untuk kembali ke studio merakamkan lagu duet baharu berjudul Janji Mama.

Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, berkata dia sudah lama memasang impian untuk berduet dengan ibunya dan lagu baharu mereka itu dianggap sebagai sebuah karya yang cukup bermakna. 

“Mama akan jadi penampilan khas dalam album saya. Nak pujuk dia memang susah sebab dia memang sudah tak mahu menyanyi lagi, tapi saya minta dia buat khas untuk saya.

“Melibatkan mama dalam projek ini ibarat satu mimpi jadi kenyataan sebab dulu, masa saya mula menyanyi, dialah yang hantar saya pergi busking,” katanya kepada mStar.

Ismail berjaya memujuk ibu untuk kembali merakamkan lagu.

Ismail berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bintang Uni-Verse 2026 yang berlangsung di Petaling Jaya pada Rabu.

Menurut Ismail, dia terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk melembutkan hati ibunya sebelum Suliza akhirnya bersetuju terlibat dalam projek tersebut.

Berkongsi lanjut, penyanyi ini turut menceritakan bagaimana ibunya meluahkan rasa bimbang untuk memulakan proses rakaman. 

“Sejujurnya, berbulan juga saya pujuk dia sampai saya ajak mama pergi main pickleball dulu untuk bergembira, barulah dia setuju.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Izzani tolak dakwaan artis Malaysia agungkan pemuzik Indonesia, sokong kolaborasi serantau

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Izzani kongsi idea spontan hasilkan ‘Tenggelam’, rakam MV seawal pukul 4 pagi

“Mama takut tak dapat beri yang terbaik sebab sudah lama tak menyanyi, tapi saya beritahu apa sahaja yang datang daripada dia sudah cukup terbaik bagi saya.

“Belum mula rakaman lagi, tapi demo sudah ada. Insya-Allah kami akan siapkan lagu ini sebelum raya,” ujarnya.

Ismail berkata ilham menghasilkan lagu Janji Mama tercetus selepas berbual panjang hampir dua jam bersama ibunya menerusi panggilan telefon ketika masing-masing berdepan masalah peribadi.

Mama akan jadi penampilan khas dalam album saya. Nak pujuk dia memang susah. 

ISMAIL IZZANI

PENYANYI

Penyanyi itu juga berkata dia amat menghargai segala pengorbanan ibu yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya walaupun terpaksa melalui pelbagai cabaran dalam hidup.

“Lagu ini sangat bermakna sebab ia lahir ketika kami sama-sama meluahkan perasaan masing-masing. Dari situ saya sedar saya membesar terlalu cepat. Dulu saya rasa baru habis sekolah dan ke mana sahaja mama pergi, saya akan teman dia.

Suliza (kiri) dan Ismail bakal berduet menerusi lagu

Suliza (kiri) dan Ismail bakal berduet menerusi lagu 'Janji Mama'.

“Bukan mudah jadi mama saya. Dia sudah banyak berkorban, kadang-kadang perlu tebalkan muka dan percayakan anaknya selepas apa yang berlaku dalam hidup saya sebelum ini.

“Saya sangat bersyukur dan gembira sebab dia masih ada bersama saya hingga hari ini,” luahnya.

Untuk rekod, Suliza Salam merupakan seorang penyanyi yang mula mencipta nama sekitar tahun 1984 dan dikenali dengan lagu berjudul Untuk Sekali Lagi. 

Bagaimanapun, dia mula menyepi daripada bidang nyanyian selepas bergelar isteri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain