suria

Ismail Izzani tolak dakwaan artis Malaysia agungkan pemuzik Indonesia, sokong kolaborasi serantau

Ismail tidak menolak untuk bekerjasama dengan komposer luar negara.

PENYANYI Ismail Izzani menolak pandangan segelintir netizen yang mendakwa artis tempatan terlalu mengagungkan pemuzik dari Indonesia susulan semakin banyak kolaborasi muzik antara dua negara itu.

Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, berkata dakwaan tersebut kurang tepat memandangkan kolaborasi rentas negara adalah perkara biasa dalam industri muzik moden yang sentiasa berkembang.

"Bagi saya perkataan 'mengagungkan' itu tidak sesuai. Pendengar kita boleh belajar banyak tentang muzik dari Indonesia. 

"Genre muzik di sana sangat besar. Kalau netizen nak cakap macam itu tidak salah, masing-masing ada pendapat sendiri. 

Ismail melihat kolaborasi dua negara sebagai satu usaha memajukan industri muzik.

"Cuma saya melihat kolaborasi ini tidak ada salahnya kerana peredaran muzik berlalu sangat cepat," katanya kepada mStar.  

Dalam pada itu, Ismail turut meluahkan rasa gembira melihat perkembangan positif dalam industri muzik serantau, khususnya di Asia Tenggara yang kini lebih terbuka kepada pelbagai genre dan kerjasama merentas sempadan.

Malah, penyanyi lagu Luar Biasa itu melihat kolaborasi penyanyi Ernie Zakrie dan Ara Johari bersama komposer Indonesia sebagai satu penanda aras kemajuan industri muzik tempatan.

"Sejujurnya saya sangat gembira melihat industri muzik sekarang lebih-lebih lagi di Asia Tenggara. 

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun berkenalan, Ismail Izzani sedang kenal hati budi artis Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Izzani kongsi idea spontan hasilkan ‘Tenggelam’, rakam MV seawal pukul 4 pagi

"Saya seronok lihat negara luar kerana mereka sangat terbuka untuk menerima pelbagai genre muzik. Secara tidak langsung, pendengar kita dapat belajar banyak tentang muzik dari luar. 

"Dulu agak berbeza, cuma sekarang ini saya lihat kita banyak bekerjasama dengan negara luar seperti yang dilakukan Ernie dan Ara Johari. 

"Saya harap ramai lagi artis Indonesia yang akan berkolaborasi dengan artis Malaysia selepas ini," ujarnya.

Ditanya mengenai pengalaman peribadi, Ismail berkata sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan beberapa pemuzik dari Indonesia namun rakaman dijalankan secara berasingan.

Kongsinya, dia juga bakal ke negara jiran itu untuk merakamkan lagu baharu. 

Ismail bakal ke Indonesia untuk merakamkan lagu baharu.

"Sebelum ini memang saya ada bekerjasama dengan beberapa pemuzik di Indonesia tetapi saya tidak ke sana untuk merakamkan lagu. 

"Kami rakam secara berasingan. Walau bagaimanapun ia merupakan pengalaman yang menarik. 

"Insya-Allah tak lama lagi saya akan ke Indonesia untuk proses rakaman lagu baharu dengan komposer di sana," katanya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain