PELAKON Ummi Nazeera berkongsi pengalaman mendaki yang tidak dapat dilupakan apabila salah seorang rakannya mengalami kecederaan hingga terpaksa bergantung kepada bantuan orang luar untuk pulang dengan selamat.
Menurut Ummi atau Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 35, kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu ketika dia bersama tiga rakan wanita melakukan aktiviti pendakian.
"Kami berempat (perempuan), pergi melakukan aktiviti mendaki dengan penuh gelak tawa dan tenaga sehinggalah seorang daripada kami, Kak Ina kakinya terseliuh di kawasan air terjun.

Perkongsian Ummi di Threads miliknya.
"Waktu itu semakin gelap dan tiada seorang daripada kami cukup kuat untuk mendukungnya (Kak Ina) turun daripada gunung. Kami pula panik," katanya.
Ummi berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads miliknya.
Tidak menyatakan lokasi kejadian itu berlaku, Ummi bagaimanapun bersyukur apabila rakannya diselamatkan sekumpulan lelaki warga emas berbangsa Cina yang tiba-tiba muncul dan menghulurkan bantuan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Semak balik circle anda” - Nabila Razali terkilan dakwaan rakan pendaki tinggalkan Mustaqqeem di Gunung Liang
ARTIKEL BERKAITAN: Ummi Nazeera cedera semasa penggambaran, ambil keputusan berehat cari ilham
"Tiba-tiba muncul sekumpulan pakcik berbangsa Cina yang kami memang tidak kenal.
"Mereka terus datang membantu tanpa ragu-ragu, malah bina pengusung sementara untuk bawa Kak Ina turun sampai ke bawah. Kami selamat sampai ke bawah sekitar pukul 9 malam," ujarnya.
Menariknya lagi, Ummi berkata dia masih mengekalkan hubungan baik dengan salah seorang daripada penyelamat yang dikenali sebagai Uncle Ah Seng.
"Saya masih berhubung dengan salah seorang daripada mereka, uncle Ah Seng. Dia juga juru elektrik yang bantu baiki dapur saya.
"Alhamdulillah, sikap kemanusiaan itu sungguh indah. Terima kasih pakcik," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


