PENYANYI dan pelakon Nabila Razali meluahkan rasa kecewa apabila mengikuti kisah tragis pendaki Allahyarham Mustaqqeem Mansoor yang meninggal dunia selepas dipercayai ditinggalkan oleh rakan-rakannya ketika menyertai aktiviti mendaki ke Gunung Liang, Perak.
Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 33, berkata, insiden berkenaan seharusnya menjadi pengajaran kepada semua agar lebih peka terhadap orang sekeliling dan tidak bersikap mementingkan diri.
“Ambil pengajaran daripada kisah arwah Mustaqqeem, moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Nabila terkilan dengan berita kematian tragis arwah Mustaqqeem.
“Tapi serius saya tak boleh fikir dengan orang yang pentingkan diri ni. Cepat tolong semak balik circle anda semua macam mana,” katanya.
Nabila berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Threads miliknya pada pagi Sabtu.
Kenyataan Nabila itu menarik perhatian ramai yang turut bersetuju dengan pandangan peribadi tentang pentingnya nilai empati dan tanggungjawab sesama manusia, khususnya ketika melakukan aktiviti berkumpulan seperti pendakian.
Menurut laporan media, komuniti pendaki kini mempersoalkan tanggungjawab pihak penganjur serta individu sweeper iaitu orang terakhir dalam kumpulan yang sepatutnya memastikan tiada peserta tertinggal di sepanjang laluan.
ARTIKEL BERKAITAN: “Nak balik sebelum 10 malam” - Nabila Razali letak syarat berlakon
ARTIKEL BERKAITAN: “Suka hati merekalah” - Nabila Razali malas ambil pusing isu boikot ‘dulang girls’
Difahamkan, arwah Mustaqqeem, 34, memulakan pendakian bersama sepuluh rakan dari Bukit Fraser menuju ke Gunung Liang pada awal Oktober lalu.
Namun, laporan menyebut arwah mengalami kecederaan di kaki dan dilihat berjalan perlahan sebelum akhirnya hilang daripada kumpulan.
Tragisnya, jenazah Mustaqqeem ditemukan pada petang Khamis di sebuah kawasan berteduh (beirut) berhampiran puncak Gunung Liang.
Terbaharu, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat hipotermia.

Jenazah Mustaqqeem ditemukan di sebuah kawasan berteduh (beirut) berhampiran puncak Gunung Liang.
Kematiannya menimbulkan persoalan besar dalam kalangan komuniti hiking tentang bagaimana seorang pendaki boleh ditinggalkan meskipun sudah ada sistem keselamatan dan peranan sweeper ditetapkan.
Orang ramai juga menuntut penjelasan daripada pihak Malim Gunung Perhutanan (MGP) serta penganjur kumpulan pendakian terbabit berhubung prosedur keselamatan yang dijalankan.
Untuk makluman, sweeper merupakan individu yang berjalan di bahagian paling belakang kumpulan dan bertanggungjawab memastikan semua peserta selamat serta tidak tertinggal sepanjang perjalanan.
Sweeper juga memainkan peranan penting membantu sekiranya ada peserta mengalami kecederaan, keletihan atau memerlukan bantuan ketika mendaki.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


