PELAKON Daniel Fong terkilan kerana terpaksa melepaskan peluang melebarkan sayap ke luar negara hanya disebabkan kekurangannya dalam penguasaan bahasa asing.
Daniel atau nama sebenarnya Daniel Fong Weng Chuan, 32, berkata dia pernah ditawarkan untuk membintangi sebuah drama cinta di Thailand, namun terpaksa menolak kerana tidak fasih berbahasa negara itu.
"Sebenarnya sebelum ini ada satu tawaran untuk saya berlakon dalam drama Thailand, tapi saya tak boleh terima sebab tak fasih bahasa Thailand. Waktu itu masih belum belajar bahasa Thai lagi.

Daniel ikuti pelbagai kelas bahasa.
"Bagaimanapun kawan-kawan saya tetap bagi sokongan dan berharap ada rezeki saya lagi. Mana tahu waktu itu saya mungkin sudah bersedia," katanya kepada mStar.
Tidak mahu mensia-siakan peluang di masa depan, Daniel kini mengambil inisiatif mengikuti kelas bahasa Thailand dan Jepun selain menyimpan hasrat untuk mempelajari bahasa Sepanyol selepas ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Daniel Fong rasa ‘dimelayukan’, tolak tawaran drama Cina
ARTIKEL BERKAITAN: Daniel Fong boleh berlakon buka baju demi watak - “Badan saya not bad”
Katanya, biarpun belum fasih, dia kini sudah mampu berbual dengan penduduk tempatan ketika melancong ke negara berkenaan.
"Sekarang sekadar nak tambah ilmu tapi masih belum fasih lagi.Cuma kalau pergi bercuti saya sudah boleh berbual dengan penduduk di sana.
"Saya ada ramai kawan Thailand, jadi kadang kala saya akan cuba bersembang dengan mereka," ujarnya.

Daniel mahu fokus kerjaya di Malaysia.
Dalam pada itu, Daniel berkata fokus utamanya kini adalah untuk mengukuhkan kerjaya di Malaysia, namun tidak menolak peluang untuk mencuba nasib di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
"Saya nak masuk pasaran hiburan di Indonesia dan Thailand kalau ada peluang.
"Tapi buat masa ini saya masih nak fokus dalam industri Malaysia terutama pasaran Melayu," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


