ISTERI kepada penyanyi dan usahawan, Nubhan iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek masih menyimpan rasa sayang terhadap suaminya biarpun rumah tangga mereka kini sedang diuji.
Dr Afifah, 36, turut meluahkan rasa terharu selepas menerima pelbagai kata semangat daripada orang ramai susulan isu pergolakan rumah tangganya menjadi perhatian.
“Terhibur hati saya hari ini, tiba-tiba ada masa untuk baca kata-kata semangat anda semua.

Dr Afifah masih sayangkan suaminya.
“Doa yang baik-baik untuk saya dan Nubhan ya. Semoga ada kelembutan di hati dia untuk saya dan anak-anak, boleh ke macam tu? Bolehlah ya,” katanya.
Dr Afifah meluahkan perkara itu menerusi satu hantaran di Threads miliknya pada malam Jumaat.
Luahan tersebut nyata menyentuh hati ramai pihak yang memuji ketabahan dan kelembutan Dr Afifah dalam berdepan dugaan hidup berumah tangga.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa dan kata semangat agar dia terus kuat menghadapi ujian itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan ada rumah di Dengkil tanpa pengetahuan isteri, kes cerai tangguh ke 2 Disember
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rupanya sudah dua kali Nubhan lafaz cerai, pernah rujuk selepas talak pertama pada 2017
“Saya boleh nampak kesucian hati Dr Afifah, masih lagi minta doa untuk Nubhan… Awak sangat sayangkan dia dan keluarga kecil awak. Tapi Tuhan lebih tahu apa yang terbaik. Ramai yang doakan Dr Afifah, tolong jaga diri terutama hati awak.
“Boleh, apa sahaja yang Dr Afifah harapkan, awak lebih tahu tentang rumah tangga awak. Semoga Allah permudahkan urusan anda berdua.
“Insya-Allah semoga yang baik-baik sahaja untuk Dr Afifah dan keluarga,” tulis netizen.
Sebelum ini, Nubhan memfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada Khamis.

Dr Afifah, Nubhan dan anak-anak mereka.
Prosiding berkenaan membincangkan permohonan bagi mengesahkan lafaz cerai pertama yang didakwa berlaku lapan tahun lalu serta proses rujuk selepas itu.
Permohonan tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum mahkamah mendengar kes pengesahan lafaz talak kedua yang dikatakan berlaku pada 26 Ogos lalu.
Kes berkenaan akan diteruskan pada 2 Disember depan bagi mendengar perbicaraan penuh.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, yang kini berusia tiga tahun
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


