suria

Fariz Isqandar menyesal jual topi ‘fake’, sudah jumpa pengasas untuk mohon maaf

Fariz menyesal menjual barangan tiruan.

PELAKON Fariz Isqandar mengakui kesilapannya dan telah berjumpa dengan pengasas The Cap City, Nigel bagi memohon maaf berhubung kontroversi penjualan topi tiruan yang menjadi tumpuan netizen di media sosial.

Fariz, 20, berkata, dia bersyukur pertemuan yang berlangsung semalam berjalan dengan baik tanpa sebarang tindakan diambil terhadapnya.

“Saya pergi jumpa Nigel untuk minta maaf. Jujurnya saya menyesal dengan diri sendiri kerana tidak tahu menahu fasal Akta Perdagangan.

Fariz sudah mohon maaf kepada Nigel.

“Tapi saya bersyukur Nigel layan saya dengan baik, profesional serta berikan nasihat agar saya berhenti jual barang tidak asli.

“Nigel juga tidak ambil apa-apa tindakan dan kami selesaikan dengan cara baik. Saya anggap apa yang berlaku menjadi pengajaran buat saya di masa depan,” katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.

Menurut Fariz, tindakan melarikan diri daripada masalah bukan keputusan tepat selain menegaskan isu yang berlaku bukan gimik pemasaran.

“Apa yang saya lakukan itu adalah kesilapan besar. Jadi buat apa saya perlu lari kerana menunjukkan saya tidak profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlakon sambil fokus belajar, pengorbanan Fariz Isqandar terbayar dapat 4A SPM

ARTIKEL BERKAITAN: Fariz Isqandar enggan hanya dikenali dengan watak Yoyol 'Budak Tebing' - “Fasa baharu untuk saya”

“Saya ambil kesempatan untuk terus mohon maaf sebab jika tidak ia akan burukkan imej saya serta pihak sana.

“Memang apa yang berlaku bukan teknik pemasaran. Kalau tidak saya dah buat photoshoot dengan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Fariz yang masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, selepas ini dia akan memberi fokus sepenuhnya kepada pelajaran sebelum kembali berniaga.

“Selepas apa yang berlaku, saya fikir lebih baik fokus belajar dan buat penyelidikan kalau nak teruskan berniaga.

Fariz mengaku perbuatan yang dilakukannya itu adalah salah.

“Mungkin saya akan cipta jenama saya sendiri untuk elak berlaku perkara seperti ini,” jelasnya.

Sebelum ini, seorang lelaki mendedahkan kepada Nigel bahawa dia membeli topi rekaan palsu daripada seorang pelakon yang dikenali dengan watak Yoyol.

Susulan itu, Fariz pantas bertindak memohon maaf kepada Nigel menerusi video TikTok dan bertemu secara bersemuka bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Untuk rekod, Yoyol merupakan nama watak lakonan Fariz dalam drama Budak Tebing.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain