PANAS! Riuh! Penuh gaya! Begitulah suasana yang mewarnai ulang tahun mStar ke-20 dan Suria FM ke-18 apabila dua jenama popular itu ‘bertembung’ dalam perlawanan pickleball di Mypickle Lifetime, Strand Mall, Kota Damansara pada Khamis.
Perlawanan yang bermula pada jam 3.30 petang itu menyaksikan kedua-dua pasukan melangkah ke gelanggang dengan wajah penuh semangat selain masing-masing sudah menyusun strategi untuk memburu kejuaraan.
Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti seperti Safwan Nazri, Ismail Izzani, Marc Syahmie dan Puteri Sarah Liyana yang menggalas cabaran untuk bersama pasukan mStar, manakala Haqiem Rusli dan Luqman Faiz pula menyertai pasukan Suria FM.

Marc tenang bidas bola daripada pihak lawan. - Faihan Ghani
Perlawanan itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Encorp, Ahmad Harzimi serta Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin.
Sebelum perlawanan bermula, Safwan dan Ismail yang menyarung jersi mStar kelihatan begitu bersemangat untuk menundukkan pihak lawan apabila membawa padel sendiri.
Bukan hanya itu, pelbagai gelagat mencuit hati dapat disaksikan sepanjang acara itu berlangsung, antaranya momen Haqiem tergolek dalam usahanya membalas pukulan kencang Ismail pada pusingan suku akhir.
ARTIKEL BERKAITAN: Cabaran lawan boling permulaan ulang tahun mStar, Suria… Lebih meriah artis jadi pemain import
ARTIKEL BERKAITAN: Artis, pembaca ‘sporting’ sertai mStar Birthday Splash… Bawa pulang banyak hadiah best!
Di sebalik aksi mencuit hati itu, Puteri Sarah membuktikan dia bukan sekadar pelakon berbakat apabila berjaya mempamerkan ketangkasan membalas setiap serangan lawan dengan gaya penuh yakin, meskipun baru berjinak-jinak dengan sukan tersebut.
Sorakan semakin gamat apabila penyampai Suria FM, Cik Piah dan Elly Ariffin tampil dengan gaya tersendiri apabila beberapa kali ‘memukul angin’, namun tetap meneruskan perjuangan dengan semangat luar biasa dan senyuman yang tidak lekang di bibir.

Puteri Sarah lincah membalas pukulan bola. - Faihan Ghani
Kehadiran Marc Syahmie pula mengejutkan kakitangan mStar, Suria FM dan Encorp apabila kemahirannya ketika membuat pukulan serta kawalan gelanggang yang kemas berjaya menaikkan semangat rakan sepasukan apabila mara ke final.
Detik paling mendebarkan akhirnya tiba apabila pasukan mStar berjaya menakluk gelanggang dengan gandingan mantap Safwan dan Fairuz (mStar) yang muncul sebagai juara utama selepas mengalahkan lawan dalam aksi penutup yang penuh sengit.

Safwan dan Fairuz juara perlawanan pickleball.
Tempat kedua turut disapu bersih oleh gandingan Allya (mStar) dan Marc, manakala Nazrin (mStar) dan Ismail memastikan podium dikuasai sepenuhnya oleh mStar selepas menamatkan saingan di tempat ketiga.
Biarpun pasukan Suria FM tidak berjaya mendapat sebarang tempat, namun acara itu bukan sekadar sukan, tetapi pesta penuh warna yang mencerminkan semangat persahabatan dan simbol ikatan erat membabitkan dua produk di bawah Star Media Group.

mStar bolot semua kemenangan. - Faihan Ghani
Sebagai kemuncak, sambutan ulang tahun mStar ke-20 dan Suria FM ke-18 bakal diraikan secara besar-besaran di Gamuda Cove pada 30 November ini dengan kehadiran lebih 300 pembaca dan pendengar bertuah yang akan bersama-sama menikmati persembahan, aktiviti menarik serta kejutan istimewa.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


