suria

[V] Cabaran lawan boling permulaan ulang tahun mStar, Suria… Lebih meriah artis jadi pemain import

MERAIKAN ulang tahun, tentu akan lebih meriah dengan penganjuran pelbagai aktiviti apatah lagi jika ia turut melibatkan para selebriti.

Begitulah yang terjadi apabila dua jenama popular iaitu mStar yang akan menyambut angka 20 tahun pada hujung bulan ini sementara Suria pula bakal mencecah usia 18 tahun pada 24 November depan.

Kedua-dua produk di bawah Star Media Group ini bersaing memenuhi cabaran dalam perlawanan boling di Juara Bowling Alley, Strand Mall, Kota Damansara pada Rabu.

Antara peserta yang menyerikan perlawanan boling. - Foto Azlina

Pertandingan bagi menentukan siapa paling hebat ini tercetus selepas wartawan hiburan mStar iaitu Izz Fizz ‘dimalukan’ oleh penyampai Suria FM, Khai Hassan dalam cabaran menguji suara siapa paling sedap yang disiarkan di stesen radio itu Isnin lalu.

Dalam pertandingan karaoke itu, Izz Fizz yang menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits) dikatakan mendapat sokongan paling rendah selain dilabelkan menyanyi seperti ‘cover’ suara berbanding Khai Hassan dilihat lebih menonjol saat mengalunkan lagu Aku Yang Tersakiti (Judika).

Afieq menunjukkan kemahirannya bermain boling. - Foto Azlina

Pertelingkahan itu akhirnya membawa kepada idea perlawanan boling sebagai penyelesaian untuk menentukan team mana sebenarnya lebih hebat yang akhirnya menyaksikan mStar memperoleh kemenangan.

Menurut Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah, idea itu ialah intipati bagi merancakkan sambutan ulang tahun kedua-dua produk berkenaan yang dinamakan mStar x Suria 20/18 Anniversary Bash.

ARTIKEL BERKAITAN: Artis, pembaca ‘sporting’ sertai mStar Birthday Splash… Bawa pulang banyak hadiah best!

ARTIKEL BERKAITAN: Kehadiran 5 selebriti popular gamatkan mStar Birthday Splash... Ismail Izzani ‘ditimbus’ peminat di dalam pasir antara kenangan kelakar!

Pelbagai pengisian dirancang sempena sambutan ini sebagai tanda sokongan mStar dan Suria terhadap pembaca dan pendengar yang telah menyokong dua jenama hiburan popular ini sehingga mencecah angka berkenaan.

“Gabungan dua produk ini membuktikan komitmen berterusan dalam usaha pihak kami untuk memperkukuh jenama pembaca mStar sebagai portal hiburan dan gaya hidup terunggul bersama Suria FM, stesen radio yang sentiasa dekat dengan pendengar.

“Ulang tahun ini akan lebih bermakna apabila peminat bertuah akan turut diundang untuk meraikannya bersama pada satu acara kemuncak yang akan diadakan hujung bulan depan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Encorp, Ahmad Harzimi melakukan balingan bola boling. - Foto Azlina

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, turut meluahkan rasa teruja dengan kerjasama ini dan berharap lebih banyak acara besar dapat dijayakan bersama pada masa hadapan.

“Ini kerjasama pertama antara kami, insya-Allah lepas ni kita buat ‘event’ yang lebih besar lagi! 

"Terima kasih juga kepada pihak Encorp, sahabat artis atas sokongan serta semua penaja yang menjayakan acara ini," katanya.

Kemeriahan perlawanan boling itu diserikan dengan kehadiran selebriti popular seperti Ara Johari, Wany Hasrita, Sarah Suhairi dan Afieq Shazwan yang mewakili Suria FM, manakala mStar pula mempertaruhkan pelakon muda berbakat Arfie Shah, Daniel Fong serta pengacara sensasi Roslan Shah.

Ara, Wany dan Fad teruja apabila balingannya mengena. - Foto Azlina

Turut menyokong acara dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Encorp, Ahmad Harzimi serta Ketua Pegawai Kewangannya, Kamarul Azman sebagai rakan strategik aktiviti ini.

Apa yang menarik ketika acara berlangsung, gelagat bola balingan Arfie Shah yang beberapa kali memasuki longkang mencuit hati penonton, sementara pelakon Daniel Fong pula mencuri tumpuan dengan balingan tepat dalam sesi kedua perlawanan. 

Tidak kurang juga aksi spontan Afieq Shazwan yang sempat menyanyi sambil membaling boling sementara Roslan Shah tidak sudah-sudah mempromsikan lagu ‘Rojak Maznahnya’

Wakil pemain daripada team mStar. - Foto Azlina

Perlawanan sengit yang menyaksikan Team B mStar gabungan wartawan Farol, Nazrin, Jimmy dan artis Daniel Fong diumumkan sebagai juara, menewaskan Team B Suria FM (Chiwan, Sarah, Iman & Khai Hassan) mendapat tempat kedua manakala Mixed Team (Cik Piah, DJ Lin, Irsyad, Afieq Shazwan) tempat ketiga.

Untuk kategori individu, Nazrin (mStar) unggul di tempat pertama, diikuti Chiwan (Suria FM) dan Allya (mStar) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Bagi cabaran seterusnya iaitu perlawanan pickleball yang akan berlangsung pada Khamis, ia akan menyaksikan team mStar akan bergabung dengan Ismail Izzani dan Puteri Sarah Liyana sementara Suria FM pula menampilkan pemain import mereka iaitu Haqiem Rusli dan Luqman Faiz.

Kemuncak sambutan ulang tahun kedua-dua jenama ini bakal berlangsung di Gamuda Cove pada 30 November depan yang dijangka menghimpunkan lebih 300 pembaca serta pendengar bertuah untuk sama-sama meraikan perjalanan hebat kedua-dua jenama ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia