PELAKON Daniel Fong kini lebih selesa berlakon dalam produksi Melayu selepas dua tahun aktif dalam industri tersebut.
Daniel atau nama sebenarnya Daniel Fong Weng Chuan, 32, berkata dia sudah lama menantikan peluang untuk menyerlah dalam drama Melayu dan bersyukur apabila impiannya itu menjadi kenyataan.
"Tahun ini saya memang nak fokus membina nama dalam drama Melayu. Cuma tahun lepas saya tak ada langsung drama Melayu, hanya buat telemovie dan drama sekuel saja.

Daniel seronok berlakon dalam perfileman Melayu.
"Sebenarnya saya sudah dua tahun aktif dalam industri kreatif Melayu," katanya kepada mStar.
Menurut Daniel, walaupun mendapat beberapa tawaran untuk drama Cina, dia bagaimanapun memilih untuk memberi keutamaan kepada drama Melayu kerana ingin mengukuhkan namanya terlebih dahulu.
"Saya ada terima tawaran drama Cina, tapi saya tolak semuanya sebab saya dah mula rasa ‘dimelayukan’.
ARTIKEL BERKAITAN: Daniel Fong boleh berlakon buka baju demi watak - “Badan saya not bad”
ARTIKEL BERKAITAN: Rasa ketiak basah terus pakai deodoran, Daniel Fong tak terkesan isu bau badan
"Bila masuk set penggambaran yang majoriti berbangsa Cina, saya jadi sedikit kekok sebab dah terbiasa dengan produksi Melayu," ujarnya.
Daniel memulakan kerjaya lakonan sejak tahun 2016 menerusi drama Cina dan hanya muncul sebagai pelakon cameo dalam beberapa karya Melayu sebelum ini.

Daniel kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Kerana Seorang Lelaki.
Dalam masa sama, Daniel meluahkan rasa bangga apabila kini berpeluang berdiri sebaris dengan dua pelakon Cina popular yang turut mencipta nama dalam industri Melayu iaitu Sean Lee dan Alvin Chong.
"Saya kenal Sean dan Alvin sudah lama malah pernah terima nasihat daripada mereka.
"Saya sangat bersyukur dan bangga bila dapat duduk sama tinggi dengan mereka. Saya harap dapat teruskan langkah seperti mereka dalam industri ini," katanya.


