PENYANYI Zaki Yamani tidak menyangka mendapat banyak tawaran berlakon selepas kejayaan lagu nyanyiannya bersama Puteri Dahlia berjudul Aku Ada.
Zaki atau Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 19, berkata, pencapaian itu membuka lebih banyak peluang baharu termasuk dapat merealisasikan impian untuk mengintai peluang dalam bidang lakonan.
"Saya tidak tahulah selepas Aku Ada mendapat perhatian ramai, saya dapat lima tawaran berlakon termasuk drama dan filem.

Zaki akhirnya dapat merealisasikan hasrat untuk bergelar pelakon.
"Mungkin ini adalah rezeki saya sebab sebelum ini ada wartawan pernah tanya saya tak mahu berlakon ke, tapi saya kata memang ada keinginan tapi belum rezeki.
"Saya rasa sebab itu saya diberi peluang untuk cuba dalam bidang lakonan ini," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Zaki yang juga merupakan anak penyanyi Datuk Jamal Abdillah memberitahu dia terkejut dengan tawaran diterima dan memaklumkan bakal membintangi sebuah filem yang akan memulakan penggambaran pada November depan.
ARTIKEL BERKAITAN: Lagu ‘Aku Ada’ satukan Zaki Yamani dan Putri Dahlia, kongsi pengalaman putus cinta
ARTIKEL BERKAITAN: Sorok kisah cinta, Zaki Yamani takut orang ingat dirinya songsang
"Saya pun terkejut dengan tawaran diterima. Muka saya ini boleh jadi pelakon ke?
"Saya belum masuk ke set penggambaran kerana insya-Allah akan bermula pada November depan.
"Buat masa ini, saya tidak boleh kongsikan lagi informasi tentang filem lakonan saya ini," ujarnya.

Zaki mahu mencuba nasib dalam bidang lakonan.
Ditanya sama ada popularitinya sebagai anak penyanyi legenda memudahkan dia mendapat peluang pekerjaan dalam bidang hiburan, Zaki menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia bekerja keras untuk membina nama sendiri.
"Saya sertai uji bakat menyanyi pun banyak kali kena tolak. Uji bakat berlakon filem Kahar: Kapla High Council pun tak lepas.
"Jadi sebagai anak Jamal bukan tiket jalan pintas untuk saya dapat sebarang tawaran dalam bidang seni," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


