PELAKON Fariz Isqandar menegaskan masalah buli di sekolah bukan berpunca daripada paparan adegan dalam sesebuah naskhah seni.
Sebaliknya, Fariz, 20, berpendapat karya seni berfungsi sebagai medium penting untuk menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat.
“Saya letakkan diri saya sebagai penonton dan pelakon dalam isu ini. Kadangkala, adegan buli yang ditunjukkan dalam filem atau drama bertujuan membuka mata penonton tentang keburukan perbuatan itu, bukan untuk menggalakkannya,” katanya kepada mStar.

Fariz berpandangan babak buli dalam drama bukan punca utama berlaku masalah buli di sekolah.
Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, Fariz berkata, karya-karya seperti drama Project High Council sebenarnya sarat dengan mesej positif.
Namun begitu, ia berbalik kepada individu yang menonton untuk memilih sama ada mahu mengambil iktibar daripada karya tersebut atau sebaliknya.
“Pengarah berkarya untuk memberi kesedaran. Contohnya dalam drama Project High Council, setiap episod mengandungi mesej kesedaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Fariz Isqandar menyesal jual topi ‘fake’, sudah jumpa pengasas untuk mohon maaf
ARTIKEL BERKAITAN: Berlakon sambil fokus belajar, pengorbanan Fariz Isqandar terbayar dapat 4A SPM
“Cerita sebegini juga melalui tapisan ketat supaya tiada elemen ideologi yang tidak sesuai.
"Akhirnya, terpulang pada individu itu sendiri sama ada mereka mahu mengikuti atau mengambil pengajaran daripada karya tersebut," jelasnya
Sementara itu, Fariz juga berpendapat bahawa punca sebenar masalah buli adalah berkaitan dengan keadaan mental seseorang dan persekitaran di luar sekolah.

Fariz merasakan masalah buli berpunca daripada pergaulan persekitaran.
“Saya boleh katakan, masalah buli sebenarnya berpunca daripada keadaan mental seseorang itu selain dipengaruhi persekitaran luar sekolah.
"Di sekolah, pembuli rasa mereka berada di zon selamat, manakala pelajar yang dibuli tidak rasa begitu.
"Sebagai generasi sebaya, kita perlu saling menjaga dan membantu memperbaiki keadaan mental rakan-rakan kita,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


