suria

[V] Bukan perkara baharu, Nabila Razali sudah lali video lama kembali jadi bualan... Hanya mampu lihat dan baca

PENYANYI dan pelakon Nabila Razali memberitahu dia sudah lali apabila segelintir netizen kembali membangkitkan video lama yang memaparkan kelemahan vokalnya suatu ketika dahulu.

Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu dan sering berulang kali diperkatakan oleh netizen.

Katanya, dia menganggap tindakan tersebut berlaku kerana tiada isu lain untuk dijadikan bahan kritikan, menyebabkan kelemahan itu terus diungkit walaupun sudah lama berlalu.

"Saya tidak boleh nak komen apa sebab video lama itu memang ada saja. Tiada apa yang baru, perkara itu sudah bertahun lamanya tetapi mereka (netizen) masih kongsi semula. 

Antara kecaman-kecaman yang diterima di aplikasi Threads.

"Setidaknya ia mengingatkan kembali tentang masa lalu yang pernah berlaku, kalau tidak saya pun lupa. Tak boleh buat apalah. Mungkin mereka pun dah tak ada point, itu sebab keluarkan balik semua video lama," katanya kepada mStar. 

Nabila berkongsi perkara itu menerusi sidang media pelancaran drama siri Viu Original berjudul Sesaat Lebih yang diadakan di 1 Utama, Petaling Jaya pada Rabu. 

Dalam pada itu, Nabila berkata dia tidak ambil serius sekiranya netizen masih mahu mengkritik kelemahan vokalnya.

"Nak cakap fasal saya menyanyi tak okay atau apa saja teruskan sebab saya menerimanya dengan hati terbuka sejak dulu lagi. 

ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali serbu sekolah, ingatkan kanak-kanak berbuat baik sesama insan

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu jadi ‘sahabat syurga’, Nabila Razali penuhi impian bertemu peminat hidap leukemia

"Disebabkan itu juga saya mengambil kelas vokal dan kelas menari untuk perbaiki diri. Apa lagi yang boleh saya buat, saya hanya mampu baca komen netizen dan lihat saja," ujarnya.

Mengulas kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini, Nabila menegaskan dia kurang bersetuju dengan sikap segelintir netizen yang gemar menghakimi artis berdasarkan kehidupan peribadi.

Tambahnya, pandangan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus.

"Saya tidak menyebelahi sesiapa, kenyataan itu cuma pendapat peribadi yang saya merasakan sangat tidak adil untuk sesiapa pun diadili dengan sebegitu. 

"Bila orang menyanyi kita dengar suara, kenapa kita tengok pada kehidupan peribadi mereka pula? Tidak kiralah berlaku kepada penyanyi atau pelakon. 

Nabila tidak mahu mengambil pusing dengan kecaman netizen.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana, tetapi kurang bersetuju dengan tindakan menghakimi itu. Kalau boleh nak nasihat orang luar yang suka buat andaian sendiri berdasarkan kehidupan peribadi orang lain, kurang-kurangkanlah," katanya. 

Sebelum ini, Nabila memuat naik satu hantaran di Threads miliknya yang mengundang pelbagai spekulasi dan dikaitkan dengan individu tertentu di media sosial.

Menerusi hantaran tersebut, Nabila meluahkan rasa kelakar apabila melihat orang ramai menilai kemampuan vokal seseorang bukan berdasarkan suara, sebaliknya melalui kehidupan peribadi.

Susulan itu, ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya dan mula mencemuh dengan membandingkan vokalnya yang dianggap kurang memuaskan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain