suria

Luahan cinta Vicha Saywho buat suami - “Kamu menyayangi anak-anakku walaupun mereka bukan darah dagingmu”

Vicha bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyayang.

PELAWAK Vicha Saywho berkongsi luahan kata-kata manis selain rasa syukur buat suami tercinta sempena sambutan ulang tahun kelahiran lelaki itu.

Bagi Vicha atau Refika Novianti Faturohman, 38, perkahwinan bersama Johnson merupakan satu anugerah kerana dia mendapat kasih sayang sepenuhnya sepanjang mereka bersama.

“Dad (panggilan Johnson), aku ingin bercerita. Aku tidak tahu bagaimana hidupku jika aku tidak berkahwin denganmu.

Vicha sifatkan Johnson sebagai suami penyayang.

“Aku juga tidak tahu apa yang akan jadi pada diriku sekarang sekiranya tidak mempunyai kamu di sisi. Kadang-kadang aku terfikir, amalan apakah yang aku lakukan sehingga Allah menghadiahkan aku seorang suami sepertimu,” katanya.

Vicha berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada petang Rabu berserta beberapa keping gambar romantis mereka berdua.

Dia turut meluahkan penghargaan atas pengorbanan Johnson yang sentiasa menyayangi anak kandung mereka selain tiga cahaya mata Vicha hasil perkahwinan terdahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Nigeria lebih penyayang, Vicha tolak cinta jejaka Melayu

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia saksi kebangkitan hidup, Vicha Saywho reda belum rezeki dapat IC biru

“Aku rasa tiada hadiah di dunia ini yang mampu membalas semua pengorbananmu sepanjang kita bersama. Selama 11 tahun ini, kamu sanggup berkorban berjauhan dengan keluarga demi aku.

“Kamu menyayangi anak-anakku walaupun mereka bukan darah dagingmu. Junior (panggilan anak bongsu) mendapat layanan yang sama seperti tiga anak yang lain, tidak pernah sekalipun kamu membeza-bezakan mereka,” luahnya.

Vicha sempat menitip doa buat Johnson selain mengharapkan keluarga mereka terus bahagia.

Perkongsian Vicha di Instagram miliknya.

Untuk rekod, Vicha dan Johnson mendirikan rumah tangga pada Ogos 2018 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Michael Taylor Ayomide yang kini berusia enam tahun.

Johnson merupakan lelaki asal Nigeria dan mereka bernikah di Kuala Lumpur.

Vicha sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu Aurel Angelina Kheyza, Listy Arun Tresnasih dan Michelle Averina Chalista.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain