PELAKON dan pengarah Ellie Suriaty tampil mengulas isu tular melibatkan kecuaian pihak produksi filem Telaga Suriram yang didakwa memaparkan kelibat kru penggambaran dalam salah satu babak karya arahan Osman Ali itu.
Menurut Ellie, 55, perkara tersebut dianggap sebagai kesilapan biasa yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan perlu dijadikan pengajaran buat semua pihak produksi.
“Biasalah, kesilapan manusia. Kita belajar daripada kesilapan. Saya bukan salahkan pengarahnya Osman Ali, tapi pada saya sebagai pengarah atau pelakon kita semua patut lebih peka,” katanya kepada mStar.

Ellie dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik Wanita menerusi filem berkenaan.
Ellie berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas ditegur oleh anaknya ketika menonton filem berkenaan di pawagam.
“Anak saya yang perasan dulu, dia kata, ‘Mummy, kenapa ada kru dekat situ dengan payung semua?’ Masa itu kami tengah menonton di pawagam.
“Saya pun tak boleh nak kata apa sebab saya datang sebagai pelakon, bukan orang yang terlibat dalam proses suntingan,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Dah tiga kali menang di FFM, Ellie Suriaty belum bersedia nak bersara
ARTIKEL BERKAITAN: Pawagam henti tayangan ‘Telaga Suriram’, pengarah rayu beri sedikit masa
Dalam masa sama, Ellie menegaskan insiden itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya proses suntingan dilakukan dengan lebih teliti, terutama pada peringkat akhir.
“Pada saya, masa sunting kena sangat berhati-hati. Kalau dah sampai peringkat akhir, kena tengok semula satu persatu dengan terperinci.
“Ini jadi satu proses pembelajaran supaya perkara macam ini tak berlaku lagi,” ujarnya.

Netizen kongsi babak memaparkan kru di media sosial.
Dalam pada itu, Ellie tidak menolak kemungkinan kejadian berkenaan secara tidak langsung membantu menaikkan populariti Telaga Suriram apabila filem itu kini tersenarai dalam 10 teratas di platform Netflix.
“Tapi saya tak kata ia dilakukan secara sengaja cuma marketing yang buruk masih lagi marketing yang bagus, tapi ia memberi peringatan kepada diri saya juga sekiranya mengarah,” luahnya.
Filem Telaga Suriram merupakan karya arahan Osman Ali yang turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil dan Nabila Huda
Sebelum ini, tular di media sosial foto yang memaparkan kelibat kru penggambaran dipercayai termasuk dalam salah satu babak filem berkenaan..
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


