suria

Dah tiga kali menang di FFM, Ellie Suriaty belum bersedia nak bersara

Ellie bawa empat persaing lain untuk meriakan bersamanya.

KALI ketiga meraih trofi di Festival Filem Malaysia (FFM), pelakon dan pengarah Ellie Suriaty tidak berhasrat untuk bersara selepas mendapat kemenangan itu.

Ellie, 55, bagaimanapun berkata, masih banyak sasaran yang mahu direbut dalam acara berperstij itu.

Katanya, kemenangan terbaharu itu turut menyuntik semangat untuk terus berkarya dan menambah koleksi anugerah pada masa akan datang.

Ellie teruja dengan kemenangnya buat kali ketiga.

"Ini adalah trofi FFM saya yang ketiga. Sebelum ini saya pernah dapat Pelakon Wanita Pembantu Terbaik pada FFM16 melalui Soalnya Siapa dan Pengarah Harapan di FFM26 untuk filem Penanggal.

"Banyak yang mahu saya sasarkan selepas ini seperti Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pengarah Terbaik serta Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik dalam filem arahan saya.

"Jadi saya tak akan bersara dalam bidang ini," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Babah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34

ARTIKEL BERKAITAN: Qi Razali, Sweet Qismina genggam trofi Pelakon Terbaik FFM34 menerusi filem Babah

Ellie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media FFM34 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Pada malam itu, Ellie sekali lagi memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Telaga Suriram.

Menurut Ellie, perjalanan selama beberapa dekad dalam industri seni memberinya pelbagai pengalaman berharga serta sesuatu yang mahu dikongsikan dengan generasi baharu terutama pelakon dan pembikin filem.

Tak mungkin saya bersara melainkan Allah berkata sebaliknya.

ELLIE SURIATY

PELAKON/PENGARAH

"Sudah banyak asam garam saya lalui dan saya ingin bekerja dengan ramai lagi pelapis baharu. Selain itu, saya juga ada simpan impian dengan figura yang dianggap ibu dan ayah serta abang yang saya sangat nak berkerjasama.

"Saya rasa tak cukup masa untuk berkerja dengan mereka, jadi tak mungkin saya bersara melainkan Allah berkata sebaliknya," luahnya.

Menyentuh kemunculannya bersama empat finalis lain di pentas FFM34, Ellie mendedahkan ia merupakan idea spontan pelakon Vanidah Imran sebagai simbol pemerkasaan wanita.

Ellie mahu kongsi kegembiraan bersama rakan-rakan lain.

Sebaik diumumkan sebagai pemenang, Ellie dilihat memeluk semua calon lain dan tindakan itu menyentuh hati ramai penonton.

"Ia tindakan spontan dan tidak dirancang. Saya dapat mesej dan kami bersetuju untuk sama-sama di atas pentas. Pengurus acara pun tidak tahu mengenai perkara itu," ujarnya.

Malam berprestij itu menyaksikan Ellie menewaskan empat saingan lain iaitu Cristina Suzanne (Babah), Lisdawati (Soloz: Game of Life), Mimi Lana (Mencari Ramlee) dan Vanidah Imran (Reversi).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain