suria

Qi Razali tak sangka menang Pelakon Lelaki Terbaik, kejayaan tutup mulut pengecam

Ini merupakan kemenangan kali pertama Qi Razali.

MEMULAKAN karier sebagai pemuzik, pelakon dan pengacara, Qi Razali tidak menyangka namanya diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) menerusi filem Babah pada malam Sabtu.

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 48, berkata kemenangan tersebut bukan sahaja satu penghargaan besar dalam perjalanan seninya, malah diharap dapat membuka mata ramai pengarah untuk memberi peluang kepada anak seni sepertinya menonjolkan bakat.

“Dengan kemenangan ini, saya harap selepas ini lebih ramai pengarah membuka mata terhadap bakat-bakat di sekeliling. Mungkin ada pelakon yang tidak ada filem box office, tapi mereka memiliki seni dan bakat tersendiri.

Qi sebak diumumkan pemenang Pelakon Lelaki Terbaik FFM34.

“Bagi saya kemenangan ini membuatkan saya lebih berani mencuba sesuatu yang berlainan,” katanya kepada mStar.

Qi ditemui pada sidang media FFM34 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Dalam pada masa, Qi turut mengakui kemenangannya kali ini seakan-akan menjawab segala sindiran nakal yang kononnya dia kurang menyerlah dalam bidang lakonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Babah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34

ARTIKEL BERKAITAN:  Qi Razali, Sweet Qismina genggam trofi Pelakon Terbaik FFM34 menerusi filem Babah

“Ada yang pernah memperlekehkan saya bukan daripada segi populariti, tapi mereka kata saya lebih sesuai mengacara atau bermain muzik kerana itu lebih mantap.

“Namun, saya tidak pernah patah semangat. Saya percaya dengan bakat dan minat yang saya ada,” ujarnya.

Menurut Qi, walaupun dia tidak memulakan karier lakonan daripada latar belakang teater, dia sentiasa berpegang kepada tiga prinsip utama bakat, minat dan disiplin untuk terus berkembang sebagai pelakon.

Saya juga masih mahu bekerjasama dengan pelbagai pengarah.

QI RAZALI

PELAKON/PEMUZIK

“Saya mungkin bukan datang daripada susur galur pelakon teater, tapi kesungguhan itu ada pada saya.

“Saya berpegang pada tiga perkara bakat, minat yang mendalam dan disiplin. Itu yang saya jadikan panduan kerana saya berbeza daripada pelakon yang keluar dari sekolah teater,” katanya lagi.

Dia turut berjanji untuk terus memberikan kelainan dalam setiap watak yang dibawanya selepas ini selain tidak terlalu memilih dalam setiap naskhah yang dihasilkan.

Babah dinobatkan Filem Terbaik FFM34.

“Saya memang memilih naskhah, tapi bukan sampai tahap Hollywood. Kalau saya rasa watak itu saya tak boleh bawa, saya akan kata tidak.

“Namun, jika skrip itu mampu menambah nilai pada karakter atau seni lakonan saya, saya akan terima. Saya juga masih mahu bekerjasama dengan pelbagai pengarah kerana saya ingin lihat sejauh mana lagi kemampuan saya,” jelasnya.

Pada malam berperstij itu, Qi memewaskan empat saingan lain iaitu Sharnaaz Ahamd (Blood Brothers: Bara Naga), Beto Kusyairy (Reversi),Aeril Zafrel (Laknat) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain