suria

[V] “Ini trofi dan watak besar pertama saya” - Sweet Qismina

PELAKON Sweet Qismina tidak menyangka kemunculannya buat kali pertama di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) pada malam Sabtu membawa tuah besar apabila diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Babah.

Sweet, 28, berkata selepas hampir dua dekad bergiat dalam industri hiburan, kemenangan itu menjadi pencapaian paling bermakna dalam kerjayanya setakat ini.

“Ini trofi dan watak besar pertama saya. Malah kemunculan di FFM juga adalah kali pertama.  Alhamdulillah, tak sangka rezeki berpihak pada saya," katanya kepada mStar.

Pengorbanan Sweet dalam Babah membuahkan hasil.

Sweet berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media FFM34 yang diadakan di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media di Angkasapuri Kuala Lumpur.

Menurut Sweet, dia sama sekali tidak meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang trofi, malah berasa cukup bertuah dapat tersenarai dalam kelompok lima calon akhir bersama pelakon-pelakon hebat.

Namun disebabkan kemenangan itu, dia berjanji akan melahirkan lebih banyak karya berkualiti dan menjaga nama baik penganugerahan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Babah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34

ARTIKEL BERKAITAN: Qi Razali, Sweet Qismina genggam trofi Pelakon Terbaik FFM34 menerusi filem Babah

"Alhamdulillah saya tak pernah terfikir dan perjalanan saya dalam bidang ini panjang. Saya masih muda  dan boleh perbaiki serta terokai dunia seni ini bersama seniwanti hebat yang saya kagumi dari kecil hingga ke besar.

"Berada dalam top 5 itu sudah cukup membanggakan dan ini peluang untuk saya majukan diri tapi Allah takdirkan lain. Allah beri rezeki ini kepada saya.

"Selepas ini saya akan jaga kualiti kerja dan menjaga nama baik ketegori Pelakon Wanita FFM34 dengan penuh semangat dan mencari lagi apa yang boleh saya buat untuk harumkan nama Sweet Qismina lagi," kongsinya.

Saya curahkan apa yang saya tak dapat luahkan dalam Babah.

SWEET QISMINA

PELAKON

Dalam pada itu, Sweet memberitahu watak Maya dalam filem Babah sangat memberi kesan, malah dia dengan rela hati mahu memainkan peranan tersebut.

Katanya dalam filem itu juga dia mencurahkan segala rasa yang tidak penah dapat dilakukan bersama arwah bapanya.

"Ada babak kahwin dalam filem itu yang beri impak kepada saya. Arwah ayah saya sudah tiada dan panggilan babah itu juga saya panggil arwah. Ini salah satu sebab saya ambil tawaran filem Babah.

Babah menang Filem Terbaik FFM34.

"Babak kahwin itu sangat istimewa kerana saya tak dapat raikan bersama ayah, jadi saya anggap ia sangat sentimental.

"Saya curahkan apa yang saya tak dapat luahkan dalam Babah," luahnya.

Pada malam itu, Sweet berjaya mengalahkan empat pesaing lain iaitu Nabila Huda (Telaga Suriram), Datin Sofia Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain