suria

“Kalau di Indonesia, sudah biasa” – Ruri Repvblik hormat undang-undang Malaysia, janji tak buka baju atas pentas

Ruri hormat undang-undang di Malaysia dengan tidak membuka baju ketika buat persembahan.

PESERTA Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang juga vokalis kumpulan Repvblik, Ruri tiada masalah untuk mematuhi undang-undang serta sensitiviti masyarakat di Malaysia seperti tidak membuka baju ketika membuat persembahan.

Meskipun tindakan membuka baju di atas pentas merupakan perkara biasa dilakukan di Indonesia, namun Ruri atau nama sebenarnya Ruri Wantogia, 44, mengambil maklum segala peraturan di negara ini. 

“Kalau di Indonesia saya sudah biasa buat persembahan tanpa berbaju. Memang itu gaya saya di atas pentas.

Ruri janji patuhi undang-undang di Malaysia.

"Tapi bila di Malaysia, saya tahu perkara ini tidak sesuai dan saya cuba menyesuaikan diri ikut budaya serta undang-undang di sini. Saya menghormati peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada mStar.

Ruri ditemui selepas persembahan minggu pertama GV12 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Ahad.

Menurut Ruri, dia tidak berkecil hati apabila pengacara GV12, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad bergurau mengenai video tular dirinya yang membuka baju ketika membuat persembahan di Indonesia.

Dalam pada itu, Ruri berkata, penglibatannya dalam GV12 merupakan pengalaman kali pertama menyertai pertandingan nyanyian yang dinilai secara langsung oleh juri profesional.

ARTIKEL BERKAITAN:Disangka jual buah duku tepi jalan, rupanya Ruri Repvblik tolong promosi bisnes kawan

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh bernafsu songsang gara-gara tubuh berotot, Ruri Repvblik tenang respons soalan pengikut

“Selama ini saya menyanyi sebagai penyanyi kumpulan. Tapi bila masuk pertandingan macam ini, rasa gementar itu lain macam.

"Peserta lain semuanya hebat. Saya anggap ini satu cabaran besar untuk saya,” ujarnya.

Tambah Ruri, penyertaannya dalam GV12 juga bertujuan untuk mengembangkan pengaruh muzik Repvblik dan menambah peminat di Malaysia.

Ruri turut memberitahu dia berulang-alik setiap minggu dari Indonesia ke Malaysia sepanjang tempoh pertandingan, namun tidak menganggap ia sebagai beban.

GV12 pertandingan pertama buat Ruri.

“Saya masuk GV12 sebab mahu tambah peminat, bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia supaya lebih meluas.

"Saya ada berbincang dengan rakan-rakan Repvblik dan minta izin mereka sebelum terima tawaran ini. 

“Alhamdulillah, mereka memberikan sokongan penuh dan insya-Allah akan datang ke Malaysia kalau saya berjaya ke peringkat akhir.

“Tak rasa penat pun untuk saya berulang alik sebab saya gembira dan nikmati perjalanan ini,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain