suria

[V] “Tak perlu wakil rakyat, cukup ada pempengaruh prihatin” - Aisar Khaled tuai pujian ramai, sanggup sertai konvoi iringi jenazah Affan Kurniawan bersama ribuan penunggang e-hailing

Aisar antara ribuan yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Affan.

PEMPENGARUH media sosial yang kini berpangkalan di Indonesia, Aisar Khaled sekali lagi mencuri perhatian apabila sanggup berkonvoi bersama ribuan penunggang motosikal e-hailing bagi mengiringi jenazah Affan Kurniawan, 21, yang maut selepas dilanggar kenderaan perisai polis berhampiran Bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada Khamis [Tonton video]

Menerusi perkongsian di Instagram, Aisar dilihat membonceng sebuah motosikal bagi mengiringi jenazah Affan ke tanah perkuburan.

Malah momen dia memeluk ibu kepada Allahyarham Affan turut mengundang sebak pengikutnya hingga ruangan komen dibanjiri pelbagai pujian, malah ada netizen yang lantang membandingkan pengaruh yang dimiliki Aisar dengan wakil rakyat. 

Ramai berpendapat keprihatinan seorang individu seperti Aisar lebih memberi makna berbanding peranan ahli politik. 

“Pencipta kandungan lebih tahu cara memanusiakan orang daripada wakil rakyat.

Aisar memeluk ibu Allahyarham Affan. 

“Kita tidak perlukan DPR, kita hanya perlu seorang dermawan seperti abang Aisar, Willie Salim dan barisan orang baik. 

"Aku bangga sama kamu abang Aisar. Teruskan misimu rakyat bantu rakyat. Kami akan selalu bersamamu," antara komen pengikut Indonesia. 

Komen-komen itu seolah-olah menggambarkan ketegangan rakyat Indonesia yang kecewa dengan wakil rakyat Indonesia, terutama selepas tragedi meragut nyawa Affan ketika insiden penunjuk perasaan membantah beberapa isu termasuk gaji penggubal undang-undang, pembiayaan pendidikan dan program makanan sekolah oleh kerajaan.

Selain itu, ada juga pengikut yang melihat Aisar sebagai simbol suara rakyat.

"Terima kasih kerana ambil peduli kepada penduduk Indonesia. Walaupun abang dari negara tetangga, tapi sikap ambil peduli kamu benar-benar luar biasa. Semoga Allah lindungi abang Aisar," tulis seorang lagi pengikut. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Insiden maut seorang penunggang e-hailing di Jakarta, Melly Goeslaw mohon maaf bagi pihak DPR

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tindakan Aisar Khaled mahu rangkul bahu Naib Presiden Indonesia ditepis pengawal keselamatan... “Ingat kawan baik ke”

Allahyarham Affan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum (TPU) Karet Bivak, Jakarta Pusat, dengan diiringi kira-kira 1,000 penunggang e-hailing, pada Jumaat.

Kematian Affan kini mencetuskan gelombang baharu protes daripada warga pemandu e-hailing di bandar raya Jakarta.

Susulan itu, Kerajaan Indonesia dilaporkan telah membatalkan beberapa acara susulan insiden tersebut.

Kementerian Kewangan yang dijadual mengadakan taklimat bulanan mengenai Belanjawan Negara pada pagi Jumaat, turut menangguhkan sesi berkenaan ke minggu hadapan.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam satu hantaran di Instagram beliau pada Jumaat menegaskan, pelaku akan menerima hukuman yang setimpal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain