suria

Tyas Mirasih Tiada Masalah Bergandingan Dengan Keith Foo

Tyas memberitahu walaupun telah putus cinta dengan Keith Foo namun hubungan mereka masih lagi baik.
Tyas memberitahu walaupun telah putus cinta dengan Keith Foo namun hubungan mereka masih lagi baik.

PETALING JAYA: Pelakon Indonesia, Tyas Mirasih tidak mempunyai masalah sekiranya ada produksi ingin menggandingkannya dengan bekas kekasihnya, aktor Keith Foo dalam sebuah projek sama.

Tyas, 26, berkata, walaupun telah berpisah sejak tahun lalu, dia dan Keith masih lagi mengekalkan hubungan sebagai rakan biasa dan sedia digandingkan dengan pelakon itu.

"Dulu semasa dia aktif di Indonesia juga kami sering digandingkan bersama dalam filem atau pun drama. Jika sekarang ada yang ingin menggandingkan kami apa salahnya.

"Kami bukannya musuh walaupun telah putus cinta dan harus bersikap profesional apabila melibatkan soal kerja," katanya kepada mStar Online.

Tyas bakal muncul dengan filem pertamanya di Malaysia berjudul Laga pada 23 Januari ini dibawah arahan pengarah Ismail Yaacob.

Selain Tyas, filem tersebut turut dijayakan oleh pelakon hebat seperti Eman Manan, Wan Hanafi Su, Syazwan zulkifli dan Nasir Bilal Khan.

Tambah Tyas, dia gembira melihat kerjaya bekas teman lelakinya itu semakin berkembang maju di Malaysia dan berharap lelaki itu terus berjaya dalam kariernya.

"Perkara yang sudah berlalu tidak perlu lagi diungkit dan saya sejujurnya senang melihat dia semakin berjaya di negaranya sendiri dan berharap kehidupannya bertambah baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tyas berkata, dia tidak akan menolak pelawaan sekiranya ada pihak yang ingin mengambilnya berlakon dalam produksi mereka selepas Laga ditayangkan.

Kata Tyas, dia sangat terbuka untuk mengembangkan kerjaya lakonannya di Malaysia dan berharap filem lakonannya pertamanya itu mendapat reaksi positif daripada penonton.

"Saya gementar untuk mengetahui penerimaan masyarakat di Malaysia tentang lakonan saya dan berharap mereka menyukainya. Saya ingin sekali mengembangkan kerjaya di sini sekiranya diberi peluang," jelasnya.

Bagaimanapun Tyas tidak menafikan pertama kali berlakon di bawah produksi tempatan sedikit menyukarkan terutamanya dari segi gaya bahasa dan percakapan.

"Saya pada mulanya sukar ingin memahami sesetengah perkataan yang berbeza maksudnya tetapi lama kelamaan saya semakin mahir dengan bantuan para pelakon dan pengarah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain