suria

Shahmeen Sanggup Ulang Alik Johor-KL Demi Jadi Penyanyi

Shahmeen mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutama ibunya untuk mengejar cita-citanya bergelar penyanyi.
Shahmeen mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutama ibunya untuk mengejar cita-citanya bergelar penyanyi.
Shahmeen mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutama ibunya untuk mengejar cita-citanya bergelar penyanyi.

KUALA LUMPUR: Bekas peserta program One In A Million (OIAM) musim pertama, Shahmeen Shah sanggup berulang alik daripada kampung halamannya, Johor Baru ke ibu negara bagi memperkenalkan kembali namanya sebagai penyanyi.

Shahmeen atau nama sebenarnya Shahmeen Shah Halim Shah, 23, berkata, sokongan kuat daripada keluarga terutama ibunya membuatkan dia bersemangat untuk mengejar cita-citanya itu.

"Setiap kali ada persembahan atau urusan di Kuala Lumpur ibu adalah peneman setia saya dan dia adalah tunjang utama saya untuk terus mengejar cita-cita sebagai penyanyi," katanya kepada mStar Online.

Shahmeen ditemui ketika majlis pelancaran single dan muzik video pertamanya berjudul Abadi yang turut dijadikan lagu tema filem Papadom 2.

Filem lakonan Afdlin, Liyana Jasmay, Khir Rahman, Johan (Raja Lawak) dan Hans Isaac itu bakal ditayangkan dipawagam pada 12 Disember depan.

Tambah Shahmeen, pertemuannya dengan pelakon dan pengarah Afdlin Shauki semasa hadir ke uji bakat program Mentor musim kelima pada tahun 2011 turut menjadi titik tolak kepada perkembangan kariernya.

"Walaupun tidak terpilih menjadi protoge Afdlin ketika itu namun dia banyak memberi galakan dan kepercayaan terhadap cita-cita saya untuk bergelar penyanyi.

"Malah Afdlin sudi mengambil saya untuk bernaung dibawah syarikatnya iaitu Vision Works bagi memastikan perjalanan karier saya tersusun," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Shahmeen berkata, dia teruja dapat menyanyikan lagu tersebut dan berharap ia akan memberi impak positif dalam memperkenalkannya sebagai penyanyi.

Jelas Shahmeen, dia juga beruntung kerana mendapat bimbingan daripada nama-nama besar dalam bidang muzik seperti Azman Abu Hassan dan Dr Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil (Pacai) selain Afdlin sendiri.

"Filem Papadom sangat terkenal dikalangan penonton sebelum ini dan peluang untuk menyanyikan lagu tema untuk karya ini adalah satu penghormatan buat saya.

"Ini kerana saya masih baru dalam bidang nyanyian dan pihak pengurusan percaya dengan bakat saya walaupun masih belum dikenali," katanya.

Sementara itu, Shahmeen berkata, buat masa ini dia akan memberikan tumpuan kepada promosi single pertamanya selain akan mengikuti aktiviti promosi filem Papadom 2 di seluruh negara.

Jelasnya lagi, pihak pengurusannya ada merancang untuk menerbitkan album penuhnya namun perkara itu masih dalam perancangan.

"Saya serahkan kepada pihak Vision Works untuk menentukan apa yang terbaik buat kerjaya saya buat masa ini dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar," ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain