suria

Tiada Larangan Lagu Bahasa 'Rojak' Sertai AJL28 - Ramli MS

Ramli MS
Ramli MS
Ramli MS

SHAH ALAM: Ketua juri Separuh Akhir Muzik Muzik 28, Datuk Ramli MS berkata tiada sebarang larangan atau kriteria menyekat sesebuah lagu yang dipertandingkan pada program tersebut untuk layak menyertai Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28) pada 26 Januari 2014.

Ramli berkata, kesemua lagu yang dipertandingkan itu dinilai berdasarkan penciptaan melodi, lirik dan pengolahan.

"Asalkan tiada sebarang lirik yang lucah atau menyentuh sensitiviti masyarakat ia masih boleh dipertandingkan.

"Kita akan melihat dari sudut melodi, lirik pengolahan dan bagaimana ia disampaikan oleh penyanyi itu. Sesebuah lagu itu susah untuk dinilai secara tepat kerana ia sangat subjektif mengikut kreativiti penciptanya," katanya ketika ditemui selepas Separuh Akhir Muzik Muzik 28, di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, Jumaat lalu.

Ramli berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kelayakan lagu In Love With You nyanyian dan ciptaan Noh Salleh & Aizat Amdan ke AJL28 yang dilihat menggunakan bahasa campuran Melayu dan Inggeris pada lirik dan tajuk lagu tersebut.

Sementara itu, tambah Ramli, pemilihan 12 buah lagu ke AJL28 ini telah dinilai awal sebanyak 70 peratus dan 30 peratus pada malam persembahan.

"Pada malam persembahan kita akan menilai sekali lagi dan melihat keberkesanan penyanyi menyampaikan lagu tersebut.

"Selain itu, pemilihan lagu-lagu tersebut juga dilihat untuk kesesuaian pada malam pertandingan AJL28 nanti," katanya.

Antara juri profesional yang terlibat dalam pemilihan berkeaan terdiri daripada Azlan Abu Hassan, Aubrey Suwito, Ajai, Ad Samad dan Azmeer.

Lagu-lagu yang layak ke AJL28 ialah Penglipur lara (Hazama), Takkan Terpisah (Black), Bahagiaku Deritamu (Hafiz Suip), Aku Pelat (Salam Muzik), In Love With You (Noh Salleh & Aizat Amdan) dan Bosan (Stacy).

Turut dicalonkan Kalau Aku Kaya ( Awi Rafael & Altimate), Hanya Aku (Hyper Act), Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Sahabat (Najwa Latiff), Ikut Rentakku (Jaclyn Victor) dan Kau Yang Terindah (Alyah).

AJL28 bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dekat sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain