suria

'Papadom 2' Tertangguh Dua Tahun Bukan Kerana Hadapi Masalah

Gayatri berkata kelewatan Papadom 2 ditayangkan disebabkan pihaknya ingin memastikan filem berkenaan dihasilkan dengan baik.
Gayatri berkata kelewatan Papadom 2 ditayangkan disebabkan pihaknya ingin memastikan filem berkenaan dihasilkan dengan baik.
Gayatri berkata kelewatan Papadom 2 ditayangkan disebabkan pihaknya ingin memastikan filem berkenaan dihasilkan dengan baik.

KUALA LUMPUR: Penangguhan penayangan filem arahan Afdlin Shauki iaitu Papadom 2 selama dua tahun bukan disebabkan produksi karya itu mengalami masalah.

Penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, berkata, kelewatan itu disebabkan pihaknya ingin memastikan filem berkenaan dihasilkan dengan baik kerana menyedari jangkaan penonton tinggi terhadap karya sekual itu.

"Filem ini tidak mempunyai masalah dari segi bajet mahu pun teknikal tetapi kita ingin memastikan semua elemen dalam karya ini dibuat dengan baik.

"Tambahan pula selepas semuanya selesai kita mahu menunggu masa sesuai untuk ia ditayangkan," katanya kepada mStar Online.

Gayatri ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video lagu tema filem tersebut berjudul Abadi yang dinyanyikan oleh Shahmeen Shah.

Papadom 2 yang menelan belanja RM1.8 juta menampilkan barisan pelakon seperti Liyana Jasmay, Afdlin Shauki, Johan (Raja Lawak), Vanidah Imran, Hans Isaac dan Khir Rahman bakal ditayangkan pada 12 Disember depan.

Dalam pada itu, Gayatri berkata, pihaknya bersama Vision Works telah menyusun pelbagai aktiviti pemasaran bagi mempromosikan filem berkenaan sebagai salah satu langkah mewujudkan kembali keinginan penonton keluar menonton apabila filem itu ditayangkan kelak.

Jelas Gayatri, lagu tema yang dilancarkan juga adalah sebagai salah satu kaedah promosi dengan menampilkan barisan artis popular dalam muzik video arahan Esham Shahlin.

"Tema dan konsep muzik video berkenaan adalah kasih sayang bersama bapa dan kami tampilkan beberapa selebriti seperti Sharifah Amani, Dina Nazir, Faizal Hussien dan Aziz M. Osman bersama bapa atau anak-anak mereka.

"Ia mampu memberi kesan kepada penonton sekaligus sebagai kaedah publisiti terhadap filem berkenaan," katanya.

Sementara itu, Gayatri berkata, Papadom 2 menjanjikan sebuah kisah yang lebih menarik berbanding karya terdahulu dan berharap ia akan mengulang kejayaan besar seperti sebelum ini.

"Ia adalah kisah kekeluargaan dan pasti akan menyentuh hati setiap ibu bapa atau anak-anak yang datang menonton," ujarnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain