suria

Syamsul Yusof Kecewa Laporan Kontroversi Media

Syamsul Yusof
Syamsul Yusof
Syamsul Yusof

PETALING JAYA: Pengarah muda Syamsul Yusof melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak media yang gemar melaporkan kontroversi mengenai dirinya secara berlebihan.

Syamsul, 29, berkata, selama ini dia sering bertolak ansur dengan pihak media yang ingin menemu bualnya namun terdapat individu yang tidak bertanggungjawab cuba mengeksploitasikan kenyataan yang diberi agar menjadi lebih sensasi.

"Saya hormat semua pihak media kerana saya faham masing-masing mempunyai tujuan kerja yang dilakukan. Antara media dan artis kita saling memerlukan.

"Tetapi kadang-kala saya kecewa dengan gaya penulisan yang disampaikan dalam berita yang dipaparkan.

"Malah ada yang tidak patut ditulis pun mereka tulis. Saya tak kata semua. Tetapi adalah individu yang berbuat demikian," katanya kepada mStar Online.

Tambah Syamsul, lebih pelik lagi ketika dia berada di Bangkok , Thailand bagi menyelesaikan tugasan suntingan filem KL Gangster 2, namanya tetap dikaitkan dengan pelbagai laporan kontroversi.

Bagaimanapun keadaan itu membuatkan Syamsul lebih berhati-hati dalam memberikan sebarang kenyataan selepas ini dan akan menggunakan medium laman sosial sekiranya ingin membuat sebarang penjelasan kepada umum.

"Sekarang ini saya mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap kenyataan yang diberi. Ataupun saya hanya perlu membuat kenyataan di laman sosial agar memudahkan kerja semua pihak selain tidak perlu menjawab pertanyaan sama berulang kali," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syamsul berkata, dia bersyukur apabila suntingan filem KL Gangster 2 telah pun siap sepenuhnya dan berkemungkinan bakal ditayangkan pada Oktober depan.

"Alhamdulillah, selepas melalui proses penapisan di LPF (Lembaga Penapis Filem), hanya 10 peratus sahaja yang dipotong. Tak banyak pun.

"Semoga penantian filem ini memberi kepuasan kepada semua selepas menyaksikannya nanti," kata Syamsul.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain