suria

Istana Budaya Anjur Konsert Klasikal

Mohamed Juhari Shaarani (kanan) bersama Konduktor Muzik Okestra Simfoni Kebangsaan, Mustafa Fuzer Nawi (kiri) dan pemain solo piano tempatan, Loo Bang Hean pada pelancaran Konsert Klasikal OSK Romantique pada Selasa. - Foto UTUSAN
Mohamed Juhari Shaarani (kanan) bersama Konduktor Muzik Okestra Simfoni Kebangsaan, Mustafa Fuzer Nawi (kiri) dan pemain solo piano tempatan, Loo Bang Hean pada pelancaran Konsert Klasikal OSK Romantique pada Selasa. - Foto UTUSAN
Mohamed Juhari Shaarani (kanan) bersama Konduktor Muzik Okestra Simfoni Kebangsaan, Mustafa Fuzer Nawi (kiri) dan pemain solo piano tempatan, Loo Bang Hean pada pelancaran Konsert Klasikal OSK Romantique pada Selasa. - Foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Konsert Klasikal Romantique, Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya (IB) pada 19 Januari ini bertujuan memartabatkan semula genre muzik itu yang semakin terpinggir.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pementasan itu adalah percubaan berani IB dalam memberikan kelainan kepada khalayak pada persembahan pembukaan panggung berkenaan bagi kalender 2013.

“Ini (konsert klasikal) adalah kelainan yang IB ingin tawarkan sebagai pembukaan 2013.

“Genre klasikal semakin dilupai jadi kita mahu angkat konsert begini agar ia tidak terpinggir di kalangan masyarakat,” katanya kepada mStar Online selepas pelancaran konsert itu, di sini pada Selasa.

Ia bakal dipentaskan dengan iringan 72 pemuzik OSK di Panggung Sari, Istana Budaya.

Konsert pimpinan konduktor terkenal, Mustafa Fuzer Nawi itu bakal menampilkan pemain piano, Loo Bang Hean menerusi lagu-lagu Symphony No. 2 ciptaan Rachmaninov, Capriccio Espagnol (Nikolai Rimsky Korsakov) dan Piano Concerto No. 2 (Frederic Chopin).

Beliau berkata, usaha yang berani itu mempunyai kelompok peminat tersendiri biarpun ia tiada tarikan komersial seperti kebanyakan pementasan di IB sebelum ini.

“Sejak lima tahun lalu, IB berusaha memberikan penjenamaan semula kepada OSK di kalangan masyarakat dengan menggabungkan orkestra dalam pelbagai pementasan komersial.

“Kita percaya genre ini akan dapat sambutan di kalangan peminat tegar muzik dan penggemar klasikal,” katanya.

Tambah beliau, konsert itu juga akan menjadi penanda aras bagi melihat respons khalayak apabila dipentaskan kelak kerana genre itu kurang mendapat pendedahan dan perhatian selama ini.

“Sampai bila kita hendak guna formula menggabungkan orkestra dan persembahan komersial semata-mata untuk mendekatkan kepada masyarakat?

“Sebab itu, konsert ini perlu diadakan bagi melihat tanda aras penerimaan umum. Kalau tidak cuba, kita tidak tahu respons masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafa Fuzer Nawi selaku konduktor muzik yang bakal mengetuai konsert itu berkata, peluang beraksi di IB adalah platform untuk membuka mata masyarakat terhadap kemampuan sebenar orkestra berkenaan.

“OSK sudah dilupakan dan terpinggir kerana kita tiada tempat untuk beraksi secara konsisten. Kita kekurangan persembahan orkestra sendiri sehingga memaksa para pemuzik beraksi pada mana-mana acara muzik lain.

“Konsert ini nanti akan jadi antara perkara terbesar dalam sejarah OSK. Selain pemuzik profesional, konsert ini akan memberikan pendedahan kepada pelajar beberapa institusi pengajian tinggi yang turut terlibat,” katanya.

Tiket-tiket berharga RM30, RM50 dan RM70 boleh dibeli dengan menghubungi 03-40265558/ 03-41478600 atau layari www.ticket2u.biz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain