suria

AG Coco Mahu Penyusun Lagu Diiktiraf

AG Coco
AG Coco
AG Coco

KUALA LUMPUR: Pemuzik AG Coco mahu pengiktirafan karyawan muzik tidak hanya tertumpu kepada komposer dan penulis lirik sahaja sebaliknya harus diperluaskan kepada individu yang melakukan kerja-kerja penyusunan lagu (arranger).

AG atau nama sebenarnya Hedzry Hafiz berkata, berdasarkan kepada pengamatannya, dalam sesebuah lagu yang dicipta, hanya nama penulis lirik serta pencipta lagu sahaja yang diberi perhatian sedangkan penyusun lagu juga memainkan peranan penting.

"Saya mengambil contoh menerusi AJL27 (Anugerah Juara Lagu ke-27), ia mengiktiraf lagu yang dihasilkan dan penulis dan pencipta lagu.

"Sedangkan setiap lagu yang dicipta turut menggunakan khidmat penyusun lagu agar ia menjadi sebuah karya yang lebih sedap didengar.

"Bagaimanapun, saya harap selepas ini nama penyusun lagu akan turut disebut sebagai usaha mengiktiraf peranan mereka," katanya kepada mStar Online.

Tambah AG, dia berharap, luahan pendapatnya itu tidak disalah tafsirkan sebaliknya mengambilnya sebagai satu perkara positif bagi membina masa depan industri muzik tanah air.

Dalam pada itu, pendapat yang disampaikan itu juga bukannya kerana ingin mendapatkan perhatian dan publisiti daripada umum.

"Jangan salah anggap. Saya membangkitkan isu ini bukan kerana mahukan publisiti tetapi cukuplah sekiranya nama mereka disebut kerana mereka juga sebahagian golongan kreatif yang menyumbang dalam penghasilan lagu itu.

"Apabila nama penyusun lagu itu diiktiraf barulah mereka berasa dihargai dan lebih bersemangat menghasilkan karya-karya yang berkualiti," ujarnya.

AG merupakan gitaris kumpulan Hujan serta Coco dan berpengalaman menyusun lagu untuk beberapa karya antaranya nyanyian Yuna, Tomok, Aizat, serta beberapa artis tempatan lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain