suria

Pasha (Ungu) Tidak Izin Isteri Jadi Penyanyi Solo

Pasha (tengah) bersama ahli kumpulannya, Ungu. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Pasha (tengah) bersama ahli kumpulannya, Ungu. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL
Pasha (tengah) bersama ahli kumpulannya, Ungu. Foto SHAHRUL FAZRY ISMAIL

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Ungu, Pasha tidak mengizinkan isterinya, Adelia Wilhelmina menjadi penyanyi solo walaupun pernah berduet dengannya menerusi lagu Di Penghujung Cinta.

Pasha, 33, berkata, dia mengambil keputusan itu kerana mahu isterinya menumpukan perhatian terhadap rumah tangga yang dibina sejak tahun 2010.

"Cemburu bukan isu saya tidak benarkan dia menjadi penyanyi solo sebaliknya saya tidak mahu kedua-dua kami sibuk hingga tiada masa untuk rumah tangga.

"Jadi biarlah dia menguruskan rumah tangga dan anak kami yang baru memasuki usia setahun," katanya.

Bagaimanapun kata Pasha, dia tidak menghalang Adelia untuk menyanyi bersamanya pada masa akan datang dalam lagu duet.

Pasha ditemui pada majlis pelancaran album terbaru mereka berjudul Timeless dekat sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Pasha tidak menolak akan berduet sekali lagi dengan isterinya ekoran lagu Di Penghujung Cinta mendapat sambutan daripada peminat.

Malah kata Pasha, dia telah menyiapkan sebuah lagu duet baru bersama Adelia khas buat peminat.

"Saya terkejut Adelia mula mempunyai peminat selepas lagu duet pertama kami keluar.

"Saya sudah siapkan sebuah lagu duet dan sedang menunggu masa untuk dllancarkan," jelasnya.

Bagaimanapun Pasha berkata, dia lebih selesa menghasilkan single berbanding sebuah album duet bersama isterinya itu.

Sementara itu, Pasha berkata, kemunculan album kompilasi Timeless adalah atas permintaan peminatnya yang mahukan semua lagu popuar kumpulan itu dimuatkan dalam sebuah album.

Menurut Pasha, mereka juga sedang dalam proses untuk menghasilkan album baru yang dijangka berada dipasaran tahun hadapan.

"Sejujurnya kami sudah mempunyai material untuk album baru tetapi atas permintaan peminat kami melancarkan album Timeless terlebih dahulu," katanya.

Album tersebut yang mempunyai 14 lagu termasuk empat buah lagu telah pun berada di pasaran.

Artikel Sebelum

Artikel Lain