suria

FFM25 Ditunda Awal 2013

Naguib berkata, keputusan menangguhkan FFM25 selepas mempertimbangkan risiko kegagalan para penggiat menghadiri acara itu kelak ekoran komitmen peribadi masing-masing pada hujung tahun.
Naguib berkata, keputusan menangguhkan FFM25 selepas mempertimbangkan risiko kegagalan para penggiat menghadiri acara itu kelak ekoran komitmen peribadi masing-masing pada hujung tahun.
Naguib berkata, keputusan menangguhkan FFM25 selepas mempertimbangkan risiko kegagalan para penggiat menghadiri acara itu kelak ekoran komitmen peribadi masing-masing pada hujung tahun.

KUALA LUMPUR: Penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25 yang dijadual berlangsung pada 30 Disember depan ditunda pada awal tahun hadapan atas permintaan sebahagian besar karyawan filem tanah air.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Mohd Naguib Razak berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan risiko kegagalan para penggiat menghadiri acara itu kelak ekoran komitmen peribadi masing-masing pada hujung tahun.

"Kita ambil keputusan untuk tangguhkan FFM25 ke penghujung Januari atau awal Februari depan demi memenuhi permintaan banyak pihak yang tidak mahu ia diadakan pada tarikh itu.

"Beberapa wakil persatuan sudah memberikan cadangan agar festival itu ditunda kerana kebanyakan penggiat seni mempunyai urusan peribadi seperti bercuti pada hujung tahun," katanya.

Mohd Naguib berkata demikian ketika ditemui mStar Online bagi menjelaskan desas-desus berhubung penangguhan tarikh acara itu.

FFM25 dianjurkan Finas dengan kerjasama Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim).

Katanya, penganjuran festival yang meraikan sambutan jubli perak itu akan menjadi sia-sia jika diteruskan tanpa mendapat sokongan yang menyeluruh warga industri filem tanah air.

"Hendak buat (FFM25) itu senang tetapi adakah semua artis dan penggiat akan terlibat?

"Kalau hendak berpegang (kekalkan) pada tarikh itu juga, kita perlu memastikan semua persatuan menyertai dan memeriahkan acara itu.

"Untuk apa FFM25 dianjurkan jika mereka tidak dapat hadirinya kerana acara itu bertujuan meraikan karyawan filem," katanya.

Justeru, Mohd Naguib berkata, pihaknya menerima cadangan penangguhan itu dengan hati terbuka.

"Kalau boleh memang hendak buat pada hujung tahun tetapi kita perlu bersikap terbuka dan mengambil kira permintaan penggiat lain juga.

"Biarlah lambat sedikit asalkan FFM25 menjadi bermakna dan gemilang," katanya.

Buat julung kalinya, FFM25 turut memperkenalkan kaedah penjurian baru dan diaudit oleh badan profesional sebagai usaha meningkatkan standard penilaian setiap kategori, katanya.

Tambah Mohd Naguib, sehubungan itu Finas bakal mengadakan sidang media tidak lama lagi menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai penangguhan festival berkenaan.

Dianggarkan kira-kira 75 filem cereka yang ditayangkan bagi tempoh 27 Oktober 2011 hingga 30 Oktober lalu layak untuk dipertandingkan pada FFM25.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain