suria

Jojo Goh Kecewa '29 Februari' Kurang Sambutan

Jojo mengakui sedikit kecewa apabila filem 29 Februari yang ditayangkan baru-baru ini gagal mendapat sambutan daripada penonton.
Jojo mengakui sedikit kecewa apabila filem 29 Februari yang ditayangkan baru-baru ini gagal mendapat sambutan daripada penonton.
Jojo mengakui sedikit kecewa apabila filem 29 Februari yang ditayangkan baru-baru ini gagal mendapat sambutan daripada penonton.

PETALING JAYA: Heroin filem 29 Februari, Jojo Goh mengakui sedikit kecewa apabila filem pertama berbasa Malaysia lakonannya gagal mendapat sambutan daripada penonton walaupun promosi dibuat secara meluas.

Jojo bagaimanapun tetap mempertahankan bahawa filem berkenaan adalah sebuah karya yang cukup baik dan mempunyai kelainan daripada karya lain.

"Sudah tentu saya sedikit sedih kerana ia adalah sebuah karya yang bagus namun barangkali penonton masih belum bersedia dengan genre dan tema yang diangkat menerusi filem itu.

"Bagaimanapun ia adalah permulaan baik terutamanya bagi penonton yang mencari kelainan daripada apa yang mereka biasa tonton," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Jojo, jika diberi peluang sekali lagi dia akan tetap memilih untuk terlibat dalam pembikinan filem berkenaan dan tidak pernah menyesal dengan keputusan dibuat.

"Jika dinilai daripada aspek artistik, plot, nilai produksi, visi ia sudah cukup membanggakan," ujarnya.

Dalam pada itu, Jojo mengakui selepas muncul dengan watak Lily menerusi filem 29 Februari kerjayanya mula menampakkan perubahan apabila mula mendapat perhatian daripada produksi Cina dan Melayu yang menawarkannya pelbagai tawaran berlakon.

Bagaimanapun kata Jojo, dia terpaksa menolak beberapa tawaran yang diberikan kepadanya ekoran pertindihan jadual yang padat dengan projek lain.

"Selain mendapat banyak tawaran saya juga mendapati pengikut di Facebook turut meningkat dan lebih ramai peminat Melayu mengikuti perkembangan saya.

"Saya ingin terus mengembangkan kerjaya saya dalam industri perfileman Melayu dan perkembangan positif ini adalah sesuatu yang cukup baik," ujarnya.

Menceritakan perkembangan terbaru Jojo memberitahu dia kini sedang meneliti beberapa skrip filem dan salah satunya adalah gabungan beberapa artis China dan Hong Kong dalam sebuah karya sama.

Pada masa sama, Jojo berkata dia juga sedang dalam proses menulis sebuah novel yang bertemakan cinta kosmopolitan bersama seorang penulis lirik terkenal.

"Saya cukup teruja dengan novel itu kerana ia adalah percubaan pertama kali saya untuk menulis sebuah buku dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain