suria

Lisa Surihani Amalkan 'Diet Dukan' Seperti Kate Middleton

Lisa Surihani
Lisa Surihani
Lisa Surihani

PETALING JAYA: Aktres Lisa Surihani yang mengalami kenaikan berat badan sejak kebelakangan ini berhasrat untuk mengamalkan sistem diet Dukan Diet seperti dipraktikkan kebanyakan wanita Perancis dan isteri kepada Putera William iaitu Kate Middleton.

Lisa, 26, berkata, sejak mengalami kenaikan berat badan sebanyak 4 kilogram daripada berat ideal, dia berasa terpanggil untuk mencuba sistem diet yang diasaskan doktor dari Perancis, Pierre Dukan itu yang menekankan kepada pengambilan protein.

"Saya sudah selidik dan melakukan pembacaan di Internet dan buku-buku kesihatan.

"Sistem diet Dukan ini bukan sahaja popular dan diamalkan di kalangan wanita-wanita Perancis, malah ia turut diamalkan Kate Middleton.

"Keberkesanan pelan itu menerusi kaedah pemakanan dan senaman yang sihat dan selamat membuatkan saya mahu mendalami sistem ini dan mencubanya," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Isteri kepada pengarah filem Yusry Abdul Halim ini berkata, perubahan pada fizikalnya tiada kaitan dengan dakwaan kononnya dia sedang berbadan dua.

"Perubahan ini tiada kena-mengena dengan dakwaan kononnya saya sedang mengandung dan mahu merahsiakannya.

"Mungkin saya bahagia dengan kehidupan sekarang, sebab itu badan naik sikit.

"Kalau saya mengandung pada masa akan datang, saya tidak akan buka cerita dulu melainkan apabila tiba masa yang sesuai untuk berkongsi," ujarnya.

Mengenai alam rumah tangga yang dilaluinya sejak 23 Februari lalu, Lisa berkata, dia berasa bahagia dengan perkembangan kehidupannya selepas bergelar isteri.

"Mungkin ia kedengaran klise tetapi terus-terang saya katakan, perkara terbaik sejak berkahwin adalah ketika saya pulang ke rumah dan dapat menghabiskan masa bersama Yusry.

"Hilang segala kepenatan bekerja di luar apabila kami dapat berbual dan berkongsi pendapat mengenai pelbagai hal.

"Sejak awal lagi, kami amalkan perbincangan dalam segenap keputusan yang hendak dibuat dan perkara itu menjadikan kami lebih mengenali antara satu sama lain," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain