suria

Kesilapan Solat Kenangan Menarik Afique Hussain

Afique menyambut hari raya di Johor Bahru dan Singapura. Foto RAYMOND OOI.
Afique menyambut hari raya di Johor Bahru dan Singapura. Foto RAYMOND OOI.
Afique menyambut hari raya di Johor Bahru dan Singapura. Foto RAYMOND OOI.

PETALING JAYA: Pelakon baru, Afique Hussain memberitahu setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri dia akan terkenangkan kisah pertama kali menunaikan solat sunat perayaan itu semasa usianya sembilan tahun.

Menurut Afique, 27, dia telah melakukan kesilapan dalam solatnya apabila pada takbir pertama dia sudah melakukan rukuk tanpa menyedari perlu menyelesaikan tujuh kali takbir terlebih dahulu.

"Bila dikenangkan kembali kelakar juga tetapi masa itu saya kecil dan itu adalah kali pertama saya pergi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

"Tetapi memori itu sentiasa segar dalam ingatan saya setiap kali saya pergi menunaikan solat sunat Hari Raya," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Afique memberitahu dia merancang untuk berkunjung ke rumah kekasihnya di Shah Alam, dekat sini bersempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Afique bagaimanapun berkata, dia akan bertandang ke rumah wanita tersebut selepas pulang daripada bercuti di kampung halamannya di Johor Bahru selama seminggu.

"Perancangan itu ada nak berhari raya dengan kekasih tetapi memandangkan saya balik ke kampung dan dia pun akan berhari raya di tempat lain, jadi saya tunggu dia kembali ke Shah Alam terlebih dahulu," katanya.

Masih pada peringkat perkenalan, Afique bagaimanapun enggan mendedahkan identiti wanita berkenaan dan memberitahu selesa berkawan dengannya.

Sementara itu, bercerita mengenai pengalamannya menyambut Syawal sebagai artis, Afique berkata tiada banyak bezanya cuma sekarang ini dia mula dikenali oleh masyarakat.

Afique yang sedang popular menerusi drama “Baitul Rahmah” memberitahu, setiap tahun persiapan Hari Raya yang dilakukan hanya sederhana dan mengikut kemampuan.

Tambahnya pada tahun ini dia sekeluarga sepakat untuk tampil sedondon dan memilih rona merah sebagai tema warna baju.

Dalam perkembangan sama, Afique akan berkumpul dengan rakan-rakan lamanya di Johor Bahru selain berkunjung ke Singapura.

Artikel Lain