suria

Fahd Ezuan Beri Tempoh Masa Dua Tahun Untuk Popular

Fahd Ezuan. Foto BRIAN MOH
Fahd Ezuan. Foto BRIAN MOH
Fahd Ezuan. Foto BRIAN MOH

PETALING JAYA: Penyanyi baru, Fahd Ezuan mencabar dirinya dengan memberi tempoh masa selama dua tahun untuk mengukuhkan namanya dalam industri muzik tempatan.

Fahd berkata, sebagai pendatang baru, sasaran seperti itu harus dibuat supaya dia tidak leka dan bekerja keras dalam mengejar cita-citanya sebagai seorang penyanyi.

"Saya tahu, bukan mudah untuk menjadi penyanyi di Malaysia melainkan seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh.

"Dalam pada itu, bukan saya seorang sahaja yang ingin menjadi penyanyi, ramai lagi yang mengejar impian sama seperti saya.

"Harap-harap, tempoh masa dua tahun itu cukup untuk saya membina nama, bukan inginkan populariti semata-mata tetapi biarlah saya menjadi penyanyi popular yang berkualiti," katanya.

Tambah Fahd, pengalamannya menjadi penyanyi latar penyanyi-penyanyi popular mengajarnya untuk melihat cara kerja mereka membuatkan dia lebih bersemangat untuk mencapai cita-citanya itu.

"Sepanjang menjadi penyanyi latar untuk beberapa tahun, saya melihat, penyanyi-penyanyi profesional ini cukup komited dengan kerja mereka dan kerana itu mereka boleh jadi popular kerana kualiti kerja yang dipersembahkan.

"Malah mereka juga dapat mengatasi masalah kontroversi yang melanda mereka," tuturnya.

Dalam pada itu, Fahd turut membuat beberapa kajian bagi melihat selera penggemar-penggemar muzik tempatan supaya lagu yang ditampilkan dapat memenuhi citarasa pendenger.

Justeru itu, selepas membuat beberapa pemilihan lagu yang sesuai, fahd muncul dengan single lagu pertamanya berkonsepkan balada berjudul Meniti Waktu.

"Meniti Waktu adalah taruhan pertama saya sebagai seorang penyanyi dan harap-harap ia dapat memuaskan hati pendengar.

"Tambah pula, ia merupakan ciptaan Adnan Abu Hassan, saya percaya, sentuhannya dalam lagu ini memberi kelainan berbanding lagu-lagu balada lain," ujar pelajar Diploma Seni Kulinari di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL), Terenganu itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain