suria

Bunohan Kutip RM720,000, Dain Said Puas Hati

Dain Said. Foto AZHAR MAHFOF
Dain Said. Foto AZHAR MAHFOF
Dain Said. Foto AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Walaupun hasil kutipan filem Bunohan hanya mendapat RM720,000, pengarahnya, Dain Said gembira dan berpuas hati kerana ia mencapai sasaran seperti yang diinginkan.

Dain berkata, walaupun angkanya dilihat kecil berbanding dengan filem-filem tempatan lain, ia sudah memadai kerana mengikut bilangan pawagam yang ditayangkan, hanya 40 salinan sahaja yang dibuat.

"Sebenarnya sasaran kami untuk kutipan filem di Malaysia hanyalah RM800,000 dan Alhamdulillah Bunohan hampir dengan sasaran tersebut.

"Dengan hanya 40 salinan filem untuk ditayangkan di pawagam, saya rasa ia satu pencapaian yang bagus berbanding filem-filem lain yang kebanyakannya membuat 70 salinan," katanya yang ditemui pada sesi dialog bersama Dain Said di Rumah Pena, di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, tambah Dain, filem itu sebenarnya masih lagi belum mempunyai angka kutipan secara menyeluruh lagi memandangkan Bunohan masih lagi ditayangkan di beberapa negara termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand di bawah edaran Universal Pictures.

Dalam pada itu, Dain juga berharap agar Bunohan tidak dipandang rendah mengenai kutipannya tanpa mengkaji dahulu berapa jumlah pawagam yang ditayangkan, termasuklah di Astro First serta tayangannya di beberapa negara luar.

"Saya tahu, konsep filem artistik adalah satu perkara yang agak janggal buat masyarakat kita dan sebab itu pihak penerbit, Apparat Sdn Bhd, hanya membuat 40 buah salinan.

"Dan apabila ia mendapat respons yang positif, malah hampir mencapai sasaran jumlah penontonnya, ini bermaksud, Bunohan diterima masyarakat dan sedikit demi sedikit, filem berkonsep sebegini akan sebati dengan mereka di masa hadapan," ujarnya.

Bunohan telah ditayangkan pada 8 Mac lalu dan ia dibintangi oleh Faizal Hussein (Ilham), Zaharil Adzim (Adil), Pekin (Bakar), Bront Palare Deng), Wan Hanafi Su (Pok Eng), Namron (Pok Wah), Shoffi Jikan (Awang Sonar) dan Tengku Azura (Mek Yah.

Kos produksinya menelan belanja RM1.81 juta.

Sementara itu, pada sesi dialog tersebut, Dain berdiskusi mengenali cara penghasilan filemnya itu bersama dengan penggiat-penggiat filem serta golongan remaja yang meminati filem-filem tempatan.

"Diakui, saya rasa teruja dan terkejut melihat golongan muda ini ingin mengetahui tentang penyampaian cerita saya dalam Bunohan.

"Saya gembira mereka menghargai karya-karya saya," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Dain bakal menerbitkan sebuah filem Cina serta dan mengarahkan dua filem Melayu berkonsepkan aksi dan pembunuhan misteri.

Artikel Lain