suria

'Pilih Kasih 3' Program Realiti Terakhir - Rosyam

SUBANG JAYA: Program realiti Pilih Kasih (PK) musim ketiga akan menjadi rancangan yang terakhir pada tahun ini selepas berjaya meletakkan ia setaraf dengan program pertandingan realiti popular yang sedia ada di Malaysia.

Penerbitnya, Rosyam Nor berkata, menerbitkan PK sebanyak tiga kali berturut-turut sudah cukup membanggakan apabila program idea asal miliknya itu mampu mencetuskan fenomena dan pada masa yang sama, dapat melahirkan bakat-bakat baru dalam persada seni lakonan tempatan.

"Saya dah penat untuk meneruskan program ini. Tapi, tengoklah macam mana nanti. Mungkin tahun ini adalah yang terakhir.

"Sebab itu, pada tahun ini, saya akan bersungguh-sungguh melahirkan bakat-bakat baru menerusi Pilih Kasih di mana apabila mereka (peserta) keluar dari program ini, mereka mampu membina nama sendiri, walaupun tidak bergelar juara," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar finalis Pilih Kasih di Hotel Holiday Villa di sini, Rabu.

Seramai 16 finalis dipilih selepas mengadakan pencarian bakat di tujuh lokasi iaitu Selangor, Kedah, Johor, Sabah, Sarawak, Kuantan dan Kuala Lumpur.

Tambah Rosyam, pada musim ini, pemilihan peserta lebih menekankan daripada segi rupa paras selain bakat lakonan yang ada.

"Berdasarkan pengalaman sepanjang dua tahun dalam PK, saya mendapati, walaupun peserta mempunyai lakonan yang sangat hebat, mereka tidak mendapat publisiti dengan baik berbanding dengan yang mempunyai paras rupa.

"Justeru itu, saya mencari kelainan sedikit di mana Pilih Kasih kali ini akan menitikberatkan soal pakej sebanyak 60 peratus di samping memiliki bakat lakonan yang hebat.

"Bagaimanapun, ada juga beberapa peserta yang kurang menarik, tetapi kami cuba membentuk dirinya menjadi lebih berpersonaliti," ujar Rosyam.

PK akan tampil dengan sedikit pembaharuan di mana program baru Zooom PK akan diperkenalkan, di mana bekas peserta PK akan dijejaki semula untuk melihat perkembangan baru mereka.

Bersama personaliti Eisya Toh selaku pengacara, Zooom PK sebanyak 12 episod ini akan mula bersiaran pada 28 Januari hingga 14 April depan, pada setiap Sabtu pukul 9 hingga 10 malam di TV2.

Beberapa program utama yang masih dikekalkan pada musim baru ini adalah Kisah PK dan Pentas PK.

Kisah PK yang memaparkan diari dan aktiviti pembelajaran dan tugasan peserta akan mula disiarkan pada setiap Rabu dan Khamis bermula 25 Januari hingga 12 April depan sebanyak 24 episod.

Manakala Pentas PK yang menjadi medan penting para peserta mempertaruhkan bakat masing-masing dalam menyampaikan tugasan mingguan yang diberikan akan mula bersiaran pada 5 Februari hingga 15 April depan pada setiap Ahad pukul 9 malam selama dua jam.

Kesemua 16 peserta PK ini akan mendapat bimbingan secara berterusan mengenai selok-belok dunia lakonan daripada dua bintang besar Erra Fazira dan Datin Umie Aida menerusi sesi pembelajaran pada setiap minggu.

Selain itu, peserta musim juga akan mendapat tunjuk ajar daripada pengarah dan penerbit terkenal Erma Fatima yang akan membimbing dari aspek lakonan drama mingguan dan pementasan teater dan aktivis teater Hamzah Tahir pula mengawasi seni lakon kesemua peserta secara terperinci.

Masih lagi dipentaskan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, Pentas Pilih Kasih masih mengekalkan pengacara yang sama, Reza Mohammed.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain